Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Bazar Ramadan Masjid Negeri Perak Dibenarkan

Tapak Bazar Ramadan di dalam Kawasan Masjid adalah Dibenarkan

bazar ramadan

IPOH: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) memberi kebenaran kepada peniaga untuk membuka tapak bazar Ramadan di dalam kawasan masjid dengan syarat mendapat khidmat nasihat daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) di daerah masing-masing.

Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Husin, berkata perkara itu diserahkan kepada jawatankuasa masjid untuk mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Pada tahun ini sebenarnya kita menggalakkan pihak masjid menganjurkan bazar di sepanjang bulan puasa ini sebagai satu aktiviti dan sumber ekonomi kepada masjid dalam tempoh pandemik ini.

“Jadi, masjid boleh membuka bazar Ramadan di kawasan masjid masing-masing tetapi dengan syarat mematuhi iaitu mendapat khidmat nasihat dan panduan daripada PBT bagi menentukan faktor kebersihan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan kelengkapan sekolah kepada 100 murid di Dewan Persatuan India Kinta, Jalan Gurdwara di sini, hari ini.

Yusop turut mengulas berhubung pertikaian sesetengah pihak yang tidak bersetuju dengan cadangan pembukaan bazar itu, berikutan boleh menimbulkan isu kebersihan dan gangguan bising kepada masjid.

“Sebenarnya masjid ada kawasan yang luas, pihak masjid boleh menentukan kawasan serta lot tertentu

dan sebab itu saya mengatakan perkara ini perlu menggunakan khidmat nasihat PBT.

“Bazar Ramadan kat luar masjid juga mungkin timbul isu kotor dan sampah sarap, jadi perkara ini (bazar di kawasan masjid) pihak masjid boleh menasihati peniaga untuk mengikuti syarat untuk menjaga kebersihan,” katanya.

Katanya, selepas penganjuran bazar Ramadan, masjid juga digalakkan memperluaskan aktiviti ekonomi dengan membuka kedai runcit dan pasar mini bagi meningkatkan sumber ekonomi ketika pandemik.

“Sebenarnya selain mengadakan bazar, masjid boleh mempelbagaikan sumber pendapatan selain sedekah setiap minggu untuk membiayai program masjid,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Kerajaan negeri bersedia menimbang cadangan JAIPk untuk membenarkan penganjuran bazar Ramadan di masjid di negeri itu bagi mengurangkan kesesakan di bazar Ramadan sedia ada.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad, dilaporkan berkata, pihaknya perlu memperhalusi cadangan itu terlebih dahulu dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk kebersihan dan peraturan sedia ada sebelum membuat keputusan.

Leave A Reply

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More