Beras Putih Malaysia Madani 2024 Diperkenalkan, Ini Harganya
Berikut dikongsikan info terkini mengenai perkenalan Beras Putih Malaysia Madani yang akan mula berada di pasaran bermula 1 Mac ini.
Isi Kandungan
Mengenai Beras Putih
Beras ialah makanan ruji paling banyak ditanam dan dimakan lebih separuh penduduk manusia seluruh dunia, terutamanya di Asia dan Afrika.
Beras boleh didapati dalam lebih kurang 40,000 varieti. Varieti yang paling banyak digunakan di Malaysia ialah beras putih.
Beras putih adalah beras perang yang menjalani proses pengilangan yang maksima. Semua atau sebahagian bran dibuang, begitu juga dengan unsur-unsur lain daripada padi sehingga ianya menjadi putih. Beras putih paling kurang nutrisi.
Di Malaysia, beras putih dikategorikan kepada 2 jenis iaitu
- Beras Putih Tempatan.
- Beras Putih Import.
Beras putih tempatan ini dihasilkan daripada pelbagai tanaman padi di Malaysia.
Senarai Harga Beras Putih Malaysia Madani
Menurut Berita Harian, Beras Putih Malaysia Madani akan diperkenalkan bagi menggantikan kategori beras putih tempatan dan beras putih import dipasaran negara Malaysia bermula 1 Mac ini.
Berikut merupakan senarai harga yang rasmi bagi beras putih (harga siling) yang telah ditetapkan oleh Kerajaan, iaitu
Kategori Beras Putih | Harga |
---|---|
1 KG | RM 3.50 |
5 KG | RM 15.50 |
10 KG | RM 30.00 |
Perkara tersebut telah diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal pada 14 Februari 2024.
Dalam pada masa yang sama beliau juga berkata, pemain industri beras diberi tempoh untuk mengubah pelabelan dan pembungkusan kampit beras bagi disesuaikan dengan ketetapan baharu itu sehingga 1 Mac ini.
Tiada lagi beras putih bergred tempatan (warna kod ungu) dan beras putih import (warna kod biru muda) di kampit beras putih keluaran pemborong beras bermula tarikh tersebut.
Semua jenis pembungkusan beras dan warna sedia ada dipasaran akan dibenarkan sehingga stok pengampitan di peringkat pemborong habis.
Selepas ini, pembungkusan Beras Putih Malaysia Madani akan diselaras menggunakan reka bentuk yang kini di peringkat lakaran.
“Ketetapan ini dibuat selepas mengambil kira tiada kenaikan harga beras putih selama 18 tahun dengan perkara ini sudah dibentang dan dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya pada sidang media.
Sebelum ini, harga kawalan maksimum beras Super Spesial Tempatan Lima Peratus (SST5) di pasaran runcit adalah RM2.60 sekilogram seperti termaktub dalam peruntukan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).
Syed Abu Hussin Hafiz berkata penetapan harga siling Beras Putih Malaysia Madani itu juga muncul sebagai mekanisme menoktahkan tindakan pemanipulasian bekalan beras putih tempatan.
Katanya, ini kerana segelintir pengeluar sebelum ini dikenal pasti mencampurkan beras putih tempatan dengan kampit beras putih import dan bertujuan untuk meraih keuntungan yang lebih.
“Tindakan ini berpunca akibat tiada kawalan harga yang ditetapkan bagi bekalan beras putih import, menyebabkan harga barangan berkenaan sentiasa tinggi selain didorong faktor lonjakan harga import akibat kenaikan harga beras global. Ia menyebabkan label beras putih tempatan akhirnya ditukar kepada beras putih import atau ia dicampur dan sebagainya, menyebabkan bekalannya sukar didapati di pasaran,” katanya lagi.
Fakta Tentang Beras Putih Malaysia Madani
Berikut adalah fakta mengenai Beras Putih Malaysia Madani yang semua rakyat Malaysia perlu tahu.
- Beras Putih Malaysia Madani dijangka dipasarkan bermula 1 Mac 2024.
- Tiada lagi kategori beras SST (Beras Putih Tempatan) dan SSI (Beras Putih Import).
- Beras Putih Malaysia Madani sebagai kategori tunggal.
- Pemain industri beras diberi tempoh mulai 19 Februari hingga 1 Mac 2024 untuk menjual semua beras dalam pembungkusan lama sehingga stok habis.
- Label dan pembungkusan kampit beras perlu mengikut ketetapan baharu mulai 1 Mac 2024.
- Bungkusan lama beras masih boleh dipakai namun perlu ditampal pelekat harga Beras Putih Malaysia Madani.
Semoga perkongsian ini bermanfaat!