Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Budak 11 Tahun Berkorban Jaga 4 Adik-beradik

Berkorban galas tanggungjawab sebagai ibubapa. Ketika kanak-kanak lain diusianya sedang seronok bermain dan mengikuti pembelajaran, namun tidak bagi Nurul Farisha Mohd Ridzuan,11, yang terpaksa berkorban menggalas tanggungjawab sebagai ibu dan bapa.

Anak kedua daripada lima beradik itu langsung tidak pernah mengeluh malah komited menjalankan tugas yang terbaik buat abangnya, Muhammad Faris Abdullah,12, dan tiga adiknya, Muhammad Faisal, 6, Muhammad Fakhrul Rizal, 3, dan Muhammad Faiz Farhan,1.

Sambil menghayun buaian adik bongsunya, mata Nurul Farisha tidak lekang memerhatikan gelagat Muhammad Faisal dan Muhammad Fakhrul Rizal yang sedang bermain.

Bukan itu sahaja, Nurul Farisha juga akan menyediakan makanan abang dan adik-adiknya dengan menggunakan dapur kayu kerana tiada kemudahan dapur gas.

Malah ketika melakukan tugasan itu dia terpaksa mendukung Muhammad Faiz Farhan bagi mengelakkan adik bongsunya itu menangis.

MULA BERKORBAN SELEPAS IBUBAPA DIPENJARA

Nurul Farisha berkata, sejak ayah dan ibunya dipenjarakan kerana kesalahan pengambilan dadah, dia dan Muhammad Faris yang berkorban mengambil alih menjaga adik-adik mereka.

“Di rumah ini kami tinggal bersama datuk dan nenek.

“Tetapi datuk (Fauzi Ismail, 63) sakit asma kronik dan sentiasa tidak sihat, manakala nenek pula (Wan Hasiah Wan Aziz, 56) keluar bekerja bagi menyara kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Binjal Pulau, Kubang Terap di sini pada Ahad.

Menurutnya, sejurus nenek keluar menjual minyak urut dari rumah ke rumah bermula jam 9 pagi hingga 6 petang, dia akan menggalas tanggungjawab tersebut.

Nurul Farisha berkata, setiap hari dia akan memasak nasi, menggoreng ikan dan ada kalanya mi segera untuk dihidangkan kepada abang dan adik-adiknya.

Katanya, disebabkan kesempitan hidup dia terpaksa  memberikan Muhammad Faiz Farhan minum susu pekat manis menggantikan susu tepung.

Dia berkata, mereka juga tidak bersekolah selama dua tahun kerana sebelum ini menetap di Seremban, Negeri Sembilan sebelum berpindah ke Kelantan.

“Kali terakhir kami bersekolah semasa di Seremban, saya tidak pandai menulis dan membaca tetapi abang (Muhammad Faris) boleh.

“Kami sangat teringin untuk bersekolah, tapi hidup kami tidak seperti orang lain,” katanya.

Sumber : SINAR HARIAN

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More