Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Daging Haram Yang ‘Dihalalkan’ di Malaysia. Angkara Siapa?

Daging Haram Yang ‘Dihalalkan’ di Malaysia. Angkara Siapa?

daging haram
Keadaan dalam kilang yang melakukan pembungkusan daging sejuk beku di Selangor.

Demi mengaut keuntungan berlipat kali ganda, terdapat syarikat ejen fret (freight forwarder) yang dipertanggungjawabkan menguruskan proses pengimportan daging sejuk beku halal, mengambil jalan mudah mengimport daging sejuk beku dari negara tidak menerima kelulusan sah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Kegiatan yang berlaku sejak beberapa tahun lalu itu didakwa mendapat bantuan daripada ‘orang dalam’ di pintu masuk negara apabila kebanyakan daging sejuk beku import itu dibawa masuk menggunakan dokumen palsu.

Menurut sumber, kebanyakan daging sejuk beku yang tidak mendapat pengiktirafan halal itu diimport dari benua Amerika melalui pelabuhan utama negara.

“Kartel ini sanggup menggadaikan status halal daging sejuk beku berkenaan atas faktor harga daging yang diimport dari benua Amerika yang jauh lebih murah,” kata sumber itu kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Kata sumber itu lagi, bagi mengelak kegiatan ‘gelap’ itu dikesan, kartel berkenaan turut mendapatkan bekalan daging sejuk beku dari negara yang diiktiraf Jakim seperti Australia dan New Zealand.

Lebih licik, kontena yang membawa muatan daging terbabit berjaya dibawa masuk tanpa sebarang ‘gangguan’ di pelabuhan.

Kartel terbabit didakwa turut menyogok sejumlah wang kepada pihak berkuasa yang bertanggungjawab mengawal selia keluar masuk kontena di pelabuhan.

Menurut sumber itu, setelah daging sejuk beku tersebut berjaya melepasi pemeriksaan di pelabuhan, daging itu akan dimuatkan dalam lori kontena sebelum dibawa ke sebuah kilang yang dikawal ketat di Selangor.

“Kilang itu memiliki beberapa pekerja warga asing yang berperanan melakukan kerja pembungkusan semula daging sejuk beku sebelum diedarkan di pasar raya seluruh negara.

“Kartel ini amat arif dan teliti dengan menghasilkan kotak serta pelekat ketulenan yang serupa dengan pembungkusan daging yang sah halalnya. Sebagai contoh, mereka menghasilkan sendiri kotak dengan jenama daging sejuk beku halal dan pelekat halal berserta logo Jakim,” katanya.

Katanya, melalui maklumat yang diperoleh beratus-ratus kontena yang membawa keluar daging sejuk beku berjaya melepasi pemeriksaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Tidak dinafikan, daging-daging yang dicurigai status halalnya itu telah dijual di pasar raya dan pasar awam,” katanya.

Tambah sumber itu, kartel terbabit hanya perlu menyediakan dokumen lengkap selain mengguna nama syarikat proksi yang mengedarkan daging sejuk beku halal selain memastikan kondisi daging dalam keadaan baik bagi meyakinkan pengusaha pasar saya mengambil bekalan daging yang kononnya halal itu.

Semasa proses terbabit, katanya, tiada ketelitian dalam menilai halal atau haram.

“Kegiatan itu amat menjijikkan apabila daging atau bahagian anggota lain seperti ekor, paru, tulang, dan perut diperoleh daripada sumber loji penyembelihan luar negara yang tidak mendapat kelulusan Jakim lolos di pasaran kita,” katanya.

Menurut sumber itu, sebelum ini isu pemalsuan sijil halal daging sejuk beku yang diimport pernah terjadi pada tahun 2017.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/111459/LAPORAN-KHAS/Awas-aktiviti-seludup-masuk-daging-lembu-tidak-halal

Dek kerana gilakan keduniaan, pihak yang tidak bertanggungjawab ini telah menjual akhiratnya dan mengakibatkan ramai dalam kalangan masyarakat kita khususnya bagi yang beragama islam telah termakan daging haram ini.

Orang yang tidak beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, akan langgar saja hukum yang telah ditetapkan oleh Allah dalam bab kehalalan makanan dan sumbernya. Bukan sahaja mereka makan ikut suka, bahkan mereka juga akan jual ikut suka. Yang mahu untung lebih, tidak akan ambil peduli untuk jual daging haram yang ditukar label halalnya. Walaupun ada logo halal JAKIM yang ditampal tanpa pengesahan JAKIM, hukum haram tetap haram.

1500 juta tan daging yang kebanyakannya diseludup dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina, sudah tersebar ke seluruh negara. Ini merupakan sejumlah daging yang besar yang sudah sampai ke tangan-tangan pengguna islam dalam negara.

Maka berhati-hatilah membeli daging sejuk beku di pasaraya. Lebih baik bayar lebih sikit untuk mendapatkan daging segar yang dijual oleh penternak dan penjual daging di pasar barang mentah yang diuruskan oleh orang yang kita yakin beriman kepada Allah dan hari Akhirat.

Sumber : https://www.sinarharian.com.my/ 

Artikel berkaitan : GST Dikaji Semula, Tahukah Anda Apa Itu GST?

Leave A Reply

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More