Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Khas Ramadhan | Darah Sedikit Yang Keluar Selepas Suci Semasa Berpuasa

Isi Kandungan

Darah sedikit yang keluar selepas suci ketika sedang berpuasa

Soalan:

Assalamualaikum wbt,

‘Period” saya dah habis, dah mandi wajib, dah solat dan berpuasa, tiba-tiba pukul 5 petang tengok masih ada berbaki sedikit darah. Adakah sah puasa saya?

Jawapan:

Waalaikumussalam wbt,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, para sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Hukum Darah Sedikit Yang Keluar Selepas Suci Semasa Berpuasa

Antara salah satu syarat sah puasa ialah suci daripada haid dan nifas. Fakta ini disebutkan dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji (2/81) : “Syarat-syarat sah puasa ialah: … 3) Tiada sebarang keuzuran yang menghalang puasa. Pitam dan gila yang berterusan sepanjang hari serta haidh dan nifas.”

Syeikh Sa`id Ba I`syn menghuraikan syarat ini dalam kitab Busyra al-Karim (hlm.554) : “Maka jika seseorang itu murtad, keluar haid, nifas, atau gila sekalipun satu lahzah (sebentar sahaja)… maka batal puasanya seperti (hukum dalam) solat.”

Darah yang keluar dari rahim wanita sekalipun selepas mandi dan berpuasa, adalah darah haid. Darah itu bukan darah fasad atau istihadah kerana ia masih keluar dalam tempoh 15 hari maksimum haid. Manakala tempoh berhenti yang sebentar itu, sekalipun lebih sehari, disebut sebagai fatrah naqa’ yang masih dianggap sebagai tempoh haid apabila ia menyelangi antara dua darah selagi mana dalam tempoh 15 hari. Kami menghuraikan isu fatrah naqa ini dalam artikel Al-Kafi #690 : Melewatkan Mandi Wajib Kerana Menunggu Darah Haid Habis Keluar.

Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, nyatakah bahawa ‘period’ atau darah haid itu masih belum habis dan darah yang keluar pada jam 5 petang itu adalah darah selepas berlakunya fatrah naqo’, selagi mana dalam tempoh sehari semalam. Oleh itu, puasa yang dilakukan pada hari itu adalah terbatal dan wajiblah digantikan kemudian hari.

Semoga Allah memberikan kefahaman di dalam agama-Nya dan semoga persoalan mengenai hukum darah sedikit yang keluar selepas suci semasa berpuasa terjawab dengan jelas. Kita sentiasa berusaha agar Ramadhan pada kali ini dapat diisi dan dimanfaatkan dengan sebaiknya. Wallahu’alam.

Akhir kalam, semoga perkongsian kami berkenaan dengan Khas Ramadhan | Darah Sedikit Yang Keluar Semasa Berpuasa Selepas Suci dapat memberi manfaat dan kefahaman yang tepat buat anda semua.

Sumber : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Anda juga mungkin berminat dengan :

Khas Ramadhan | Tinggal Puasa Kerana Berpantang, Langkah Tahun Kerana Menyusu

Khas Ramadhan | Hukum Suntik Insulin Bagi Pesakit Diabetes Kronik di Bulan Ramadhan

Khas Ramadhan | Muntah Setelah Makan Ubat Buang Angin

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More