Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Elakkan Jenaka Rogol Berleluasa Di Kelas

Jenaka rogol di kelas bukti adab mendidik kian terabai.

SISTEM sekolah yang baik akan melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademik dan kokurikulum, namun mempunyai sahsiah terunggul.

Transformasi pendidikan komprehensif penting bagi melahirkan pelajar kelas pertama yang mampu bersaing pada peringkat global. Guru pula dilihat pengaruh terbesar di sekolah sebagai pengajar yang membantu membentuk diri murid.

Sejak di bangku sekolah rendah, murid mudah terpengaruh keadaan sekeliling bukan sahaja dengan rakan sebaya, malah perilaku guru secara langsung ataupun tidak.

Saban hari, peranan guru semakin mencabar. Guru adalah ibu bapa kedua bagi murid di sekolah. Tidak hairanlah jika guru rapat bersama murid.

Apa yang menjadi kejutan baru-baru ini adalah pengakuan seorang pelajar sekolah menengah bahawa seorang guru membuat jenaka berkaitan isu rogol dalam kelas.

Ia mengundang reaksi negatif dan kemarahan pelbagai pihak, khususnya ibu bapa pelajar.

Apa yang dilihat hari ini sangat menyedihkan, apabila ramai guru tidak menyedari isu jenaka sensitif ini sebenarnya mampu memberi pengaruh buruk kepada pelajar suatu hari kelak.

“Sebab mereka tidak faham perkara itu adalah salah. Di situlah salah sistem pendidikan kita yang tak mengajar perbuatan salah. Hanya fokus kepada bidang akademik dan tidak kepada moral, adab dan akhlak pelajar kita,” kata seorang pelajar yang menjadi mangsa isu gurauan rogol.

Mangsa jenaka rogol juga menyatakan guru berkenaan memberitahu pelajarnya untuk merogol wanita yang berumur di atas 18 tahun sahaja kerana undang-undang berkaitan jenayah ini kurang berbanding merogol remaja berusia 18 tahun ke bawah.

Ramai pelajar lelaki khususnya tertarik dengan jenaka sensitif ini, namun tidak pelajar perempuan. Kebanyakannya malu, tetapi takut untuk menyuarakan masalah dialami.

Jika perkara ini tidak dibendung, ia akan menjadi ikutan pelajar pada masa akan datang di mana kehormatan wanita tidak lagi dipandang tinggi. Lebih parah, jika ada antara pelajar lelaki mengaplikasi gurauan buruk itu dalam kehidupan seharian.

Bukankah mencegah itu lebih baik daripada mengubati? Berapa ramai pelajar lelaki yang akan terpengaruh dengan pemikiran toksik sedemikian? Tepuk dada tanya selera.

Jika perkara ini tidak dibendung, hasrat kerajaan melahirkan pelajar berkualiti dan unggul dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual hanya angan-angan Mat Jenin.

Pantang kutu dicukur, pantang manusia dihina. Isu rogol bukan perkara yang boleh dibuat jenaka kerana nilai maruah wanita tidak terletak kepada gurauan, namun kehormatan.

Setiap guru mesti beriltizam meneroka pelbagai cabang ilmu bagi memperbaiki diri kerana guru bukan pengajar semata-mata, namun seorang pembimbing untuk menjadikan pelajar insan berguna kepada bangsa dan negara suatu hari nanti.

Sistem sekolah perlu dilihat dan dikaji semula supaya situasi ini tidak berulang. Kita pula, jangan menyalahkan guru sepenuhnya disebabkan peranan mereka semakin mencabar dan kompleks susulan perubahan sistem pendidikan disebabkan wabak COVID-19 yang semakin menjadi-jadi.

Sesungguhnya tiada manusia dapat lari daripada melakukan kesilapan. Jadikan pengalaman dan kesalahan lalu sebagai pendorong untuk terus maju bagi memikul tanggungjawab mulia ini.

Setiap guru umpama berlian yang memantulkan kilauan bergemerlapan dan pada ketika itu dirinya begitu bernilai.

Setiap guru mesti memiliki wawasan unggul bagi melonjak kualiti pendidikan seiring negara maju lain supaya dapat melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik dan kokurikulum, namun memiliki keperibadian luhur supaya dapat menaikkan nama Malaysia di persada dunia.

Nur Alyssa Fitri Azlan,
Mahasiswi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Sumber Berita Harian

Artikel lain: Permohonan Sewaan Premis Bangunan MARAPermohonan Skim Perantisan Nasional (SPN) KBS

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More