Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Khas Ramadhan | Hukum Memakan Makanan Yang Dijual Oleh Pelaku Maksiat

Isi Kandungan

Apakah Hukum Memakan Makanan Yang Dijual Oleh Pelaku Maksiat?

Soalan:

Assalamualaikum S.S Mufti, apakah benar kita tidak sepatutnya membeli makanan yang dijual oleh para peniaga bazar Ramadan yang tidak menutup aurat ?

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Dalam menjawab isu ini, kami memberikan perincian kepada beberapa perkara seperti berikut:

Pertama: Perintah Memakan Makanan Yang Halal Lagi Baik

Terdapat begitu banyak dalil-dalil syarak daripada al-Quran dan juga al-Sunnah yang menunjukkan arahan supaya seseorang muslim itu memakan makanan yang halal lagi baik. Ini seperti yang disebutkan oleh Allah S.W.T melalui firman-Nya:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya: Wahai sekalian manusia, makanlah kamu dari (hasil) yang terdapat di atas muka bumi (makanan) yang halal lagi baik.

Surah al-Baqarah (168)

Imam al-Thabari Rahimahullah apabila menafsirkan ayat ini beliau berkata: ‘’Wahai sekalian manusia, makanlah kamu semua dari makanan-makanan yang telah aku halalkan buat kamu melalui lisan Rasul-Ku Muhammad dan (juga makanan) yang telah Aku anggap baik buat kamu’’.

Beliau juga turut menyatakan definisi thayyib (baik) dengan katanya: ‘’Iaitu (makanan) yang suci dan bersih dari najis dan keharaman’’. Lihat Tafsir al-Thabari, Ibn Jarir al-Thabari (3/300).

Justeru, dapat kita fahami bahawa menjadi satu kewajipan ke atas seorang muslim itu untuk memakan makanan yang halal lagi baik sepanjang kehidupannya di atas muka bumi.

Kedua: Hukum Membeli Dan Memakan Makanan Yang Dijual Oleh Pelaku Maksiat

Dalam isu ini, nas-nas syarak tidaklah menunjukkan kepada hukumnya secara terperinci. Ini melainkan panduan asas dalam pemakanan iaitu hendaklah seseorang itu makan makanan yang halal lagi baik tanpa melihat kepada siapa yang memasak dan menjualnya.

Isu ini seringkali berbangkit tatkala masuknya bulan Ramadan, kerana ada beberapa kenyataan yang menyebut bahawa janganlah kita membeli juadah berbuka puasa dari para peniaga yang tidak menutup aurat, tidak solat, dan perkara maksiat selainnya.

Walaupun begitu, terdapat beberapa pendapat para fuqaha’ yang menceritakan soal memakan makanan yang dimasak oleh orang bukan Islam. Kami menyatakan bahawa, tidak menjadi kesalahan bagi seorang muslim untuk memakan makanan yang dimasak atau disediakan oleh bukan muslim dari susu, sayur-sayuran, buah-buahan dan segala macam jenis makanan yang lain kecuali sembelihan mereka.

Imam Qatadah Rahimahullah telah berkata:

لَا بَأْسَ بِأَكْلِ طَعَامٍ الْمَجُوسِ مَا خَلَا ذَبِيحَتَهُ

Maksudnya: Tidak mengapa (tiada masalah) untuk memakan makanan orang Majusi selain dari sembelihannya.

Riwayat Abd al-Razzaq di dalam Musannaf (10155)

Begitu juga yang disebutkan oleh al-Imam al-Qurtubi Rahimahullah di dalam tafsirnya:

وَقَالَ أَبُو عُمَرَ: وَلَا بَأْسَ بِأَكْلِ طَعَامِ عَبَدَةِ الْأَوْثَانِ وَالْمَجُوسِ وَسَائِرِ مَنْ لَا كِتَابَ لَهُ مِنَ الْكُفَّارِ مَا لَمْ يَكُنْ مِنْ ذَبَائِحِهِمْ

Maksudnya: Telah berkata Abu Umar: dan tidak mengapa dengan memakan makanan  golongan penyembah berhala, orang Majusi dan sekalian yang tiada kitab (bukan ahli kitab) dari kalangan kuffar selama mana ia (makanan) bukan dari sembelihan mereka. Lihat Al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, Al-Qurthubi (6/77).

Ini menunjukkan bahawa memakan makanan yang disediakan oleh orang bukan Islam pun adalah dibolehkan. Justeru, makanan yang disediakan oleh golongan fasiq atau pelaku maksiat juga adalah boleh untuk dimakan selama mana makanan itu halal lagi baik.

Kesimpulan

Sebagai penutup, kami menyatakan bahawa perbuatan membeli dan memakan juadah yang disediakan oleh para peniaga yang tidak menutup aurat adalah dibolehkan menurut syarak selama mana makanan yang disediakan itu adalah halal lagi thayyib (baik) menurut aspek penyediaan, kebersihan, dan juga tempat jualan.

Namun, sekiranya seseorang itu atas dasar waraknya dia dalam menjaga keperibadian dirinya, dan memilih untuk tidak membeli makanan dari para peniaga yang mendedahkan aurat, maka ini adalah dibolehkan kepada dirinya tanpa melarang orang lain berbuat begitu bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan masyarakat. Ini bertepatan dengan sebuah riwayat yang menyebut:

 وَلَا تَأْكُلْ إِلَّا طَعَامَ تَقِيّ

Maksudnya: Dan janganlah kamu makan melainkan makanan orang yang bertakwa.

Syeikh ‘Ali al-Qari Rahimahullah menyatakan sebabnya adalah: ‘’Ini kerana makanan orang yang bertakwa secara ghalibnya adalah halal dan akan memberi kesan dalam mendatangkan (amal) ibadah. Lihat Mirqaat al-Mafatih, Ali al-Qari (8/3141).

Kami juga mengambil kesempatan ini, untuk menasihati para peniaga di bazar Ramadhan agar menjadikan bulan Ramadhan sebagai medan mencapai keberkatan dalam perniagaan. Jadikanlah diri kita sebagai peniaga yang menutup aurat, menjaga solat, jujur dalam menimbang dan menyukat, serta menjauhkan diri dari maksiat sepanjang proses perniagaan.

Semoga Allah memberikan kefahaman di dalam agama-Nya. Kita sentiasa berusaha agar Ramadhan pada kali ini dapat diisi dan dimanfaatkan dengan sebaiknya. Wallahu’alam.

Akhir kalam, semoga perkongsian kami berkenaan dengan Khas Ramadhan | Hukum Memakan Makanan Yang Dijual Oleh Pelaku Maksiat dapat memberi manfaat dan kefahaman yang tepat buat anda semua.

Sumber : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Anda juga mungkin berminat dengan :

Khas Ramadhan | Tinggal Puasa Kerana Berpantang, Langkah Tahun Kerana Menyusu

Khas Ramadhan | Hukum Suntik Insulin Bagi Pesakit Diabetes Kronik di Bulan Ramadhan

Khas Ramadhan | Muntah Setelah Makan Ubat Buang Angin

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More