Sumber Rujukan Globalisasi Anda

JKMPay Mudahkan Pengagihan Bantuan Kebajikan

Agihan Bantuan Kebajikan Dipermudahkan Oleh JKMPay

jkmpay

KANGAR: Penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak perlu lagi ke pejabat agensi itu mendapatkan bantuan bulanan masing-masing pada masa depan.

Ini apabila kaedah penerimaan bantuan berkenaan dipermudahkan dengan permulaan Projek Rintis Pembayaran Bantuan Bulanan JKM Secara Tanpa Tunai (Cashless) atau JKMPay yang sedang menjalani projek rintis.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, projek berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama strategik bersama Bank Islam Malaysia Berhad bagi tempoh enam bulan dari 1 Februari lalu sehingga 31 Julai depan.

“Melalui JKMPay, penerima bantuan akan menerima 50 peratus daripada jumlah kadar bantuan yang diluluskan dan dikreditkan ke dalam akaun Bank Islam penerima bantuan berkenaan di mana ia boleh dikeluarkan dengan kad ATM/Debit Bank Islam.

“Baki 50 peratus lagi akan dimasukkan ke dalam Kad Cashless JKMPay di mana sebagai permulaan, penerima bantuan hanya boleh berbelanja untuk barang keperluan asas, keperluan harian dan ubat-ubatan di 250 kedai berdaftar dengan Bank Islam sahaja.

“Namun, pembelian yang tidak tersenarai dalam maklumat barang keperluan, tidak dibenarkan untuk menggunakan kad Cashless JKMPay,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil menyempurnakan Majlis Pelancaran Projek Rintis Pembayaran Bantuan Bulanan JKM Secara Tunai (Cashless) atau JKMPay di sebuah hotel, di sini.

Majlis turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kebajikan dan Bantuan Bencana, Hubungan dan Kerjasama Sempadan, Ruzaini Rais yang mewakili Menteri Besar Perlis.

Katanya, untuk permulaan, Pejabat JKM Perlis, Pejabat JKM Daerah Kubang Pasu dan Kota Setar di Kedah dan Pejabat JKM Daerah Melaka Tengah di Melaka dipilih untuk projek rintis itu.

“Malah, sehingga hari ini seramai 650 orang penerima bantuan baru sudah menyertai projek rintis ini.

“Kita berharap agar inisiatif ini dapat diperluaskan ke seluruh negara dan dipermudahkan kepada semua penerima bantuan JKM yang layal seiring dengan keperluan semasa serta perubahan norma baru,” katanya.

Sumber Berita Harian

Artikel lain: Malaysia Bersedia Hadapi Status Negara Tua

Leave A Reply

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More