Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Kerajaan sasar Sumbangan RM30 juta daripada penjawat awam

Isi Kandungan

MANIFESTASI SOLIDARITI PENJAWAT AWAM

PUTRAJAYA: Kerajaan menganggarkan sebanyak RM30 juta dapat disumbangkan oleh lebih 800,000 penjawat awam kepada Akaun Amanah Bencana bagi membantu negara memerangi COVID-19.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata sumbangan oleh penjawat awam itu tidak termasuk petugas barisan hadapan dan penjawat awam Gred 1 hingga 28.

Katanya, sumbangan berkenaan adalah sebagai tanda kebersamaan penjawat awam dalam menyokong usaha kerajaan bagi melandaikan keluk jangkitan pandemik COVID-19 di negara kita.

“Sebagai manifestasi solidariti penjawat awam dalam hal ini, sebahagian Imbuhan Tetap Keraian (ITK) bagi Pengurusan Tertinggi dan Gred 44 hingga 56 serta Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) bagi Gred 29 hingga 41 yang dinikmati oleh penjawat awam pada masa kini akan disumbangkan kepada Akaun Amanah Bencana.

“Bagi JUSA A ke atas, sumbangan ITK sebanyak 50 peratus, diikuti JUSA B (20); JUSA C (10); Gred 44 hingga 56 (lima) dan Gred 29 hingga 41 menggunakan ITKA (RM10).

“Penepatan sumbangan ini akan diberikan dalam tempoh tiga bulan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan Media

Mohd Zuki berkata, beliau memahami penjawat awam khususnya sentiasa menjadi tulang belakang kerajaan dalam usaha mengimbangi nyawa dan kehidupan.

“Semoga pengorbanan ini menjadi asbab kebaikan dalam kehidupan bagi setiap anggota Perkhidmatan Awam dan ahli keluarga kita.

“Marilah kita meneruskan ikhtiar dan meningkatkan komitmen dalam memberikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara serta membantu memastikan kita berjaya mengharungi tempoh yang mencabar ini,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan sebagai tanda sokongan, barisan jemaah Menteri bersetuju untuk tidak mengambil gaji selama tiga bulan mulai Jun ini.

Perkara itu diumumkan ketika pengumuman Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+).

Sumber Berita Harian

Artikel lain: PEMERKASA Plus Bantuan Sehingga RM1500

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More