Sumber Rujukan Globalisasi Anda

KISAH SUMAYYAH, WANITA ISLAM PERTAMA MATI SYAHID

Sumayyah bintu Khubath, nama yang tidak pernah dikenali di seluruh pelosok Mekah sebelum Islam hadir memancarkan sinarnya di Ummul Qura. Beliau seorang wanita yang bersosok besar, usianya telah memasuki usia senja. Namun, beliau memiliki akal yang jernih, dan jiwanya memancarkan keikhlasan, bara dan semangat!. Tidak berapa lama selepas Rasulullah memulakan dakwah baginda, keluarga Yasir muncul sebagai di antara manusia terawal mengimani risalah Islam dan membenarkan kerasulan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Keimanannya yang mendalam terhadap Allah menjadikan dirinya sebagai pelopor wanita-wanita yang sabar dan tegar mempertahankan akidah.

Sumayyah ialah wanita yang pertama sekali mati syahid dalam Islam. Sumayyah merupakan isteri Yasir. Dengan keimanan yang kuat dan keberanian yang tersimpan di relung hatinya yang dalam ia sanggup menentang Abu Jahal yang terkenal bengis dan kejam.

Sumayyah bersama suami dan anaknya Ammar dijemur di tengah padang pasir yang
sangat panas. Kaki dan tangan mereka diikat sehingga tidak bergerak dan melawan. Mereka
diseksa dengan kejam agar mengikuti keinginan Abu Jahal. Namun mereka tidak terdengar
sepatah katapun dari mulut Yasir atau puteranya, Ammar selain daripada rintihan yang penuh kesakitan, justeru itu mereka meneruskan penyeksaan terhadap keluarga yang beriman ini agar menyatakan murtad dari agama Islam.

Sumayyah tidak merintih kesakitan tetapi menentang dengan terus terang serta
menyatakan bahwa beliau tetap berpegang teguh kepada keimanannya, walaupun harus
ditebus dengan harga yang mahal kerana mereka telah mendengar sabda Rasulullah s.a.w
ketika baginda melewati tempat mereka diseksa yang bermaksud; “Bersabarlah wahai keluarga Yasir kerana tempat yang dijanjikan untuk kamu adalah syurga.”

Segala seksaan terasa ringan kerana semuanya akan berakhir dengan kenikmatan
syurga. Biar apapun seksaan yang menimpa Sumayyah namun ia tetap dengan pendirian dan keimanan yang kukuh dalam jiwanya.

Abu Jahal yang sombong dan bengis merasa terhina kerana dicabar oleh seorang wanita yang lemah. Penyeksaan yang dilakukan hanya menambah ketaqwaan Sumayyah dan menambah keberaniannya. Akhirnya Sumayyah di bunuh dengan penyeksaan yang menyedihkan.

Nama Sumayyah abadi hingga kini untuk dikenang sebagai pejuang yang sanggup dan
berani melawan kekejaman dan kekerasan. Ibnu Hajar berkata dalam kitabnya Al-Ishabah;
“Sumayyah bt Hubbath bekas hamba sahaya Huzaifah b al-Mughirah b Makhzum. Beliau
adalah ibu Ammar b Yasir orang yang masuk Islam pada hari ke-7. Sumayyah diseksa Abu
Jahal dan ditusuk tombak pada kemaluannya hingga meninggal dunia. Ia adalah wanita yang pertama sekali mati syahid dalam Islam.

Yasir dinikahkan oleh Huzaifah dengan Sumayyah kemudian mendapat sorang anak
yang diberi nama Ammar setelah dimerdekakan. Yasir, Ammar dan Sumayyah termasuk
angkatan pertama yang memeluk Islam.” Sumayyah menjadi lambang dalam menegakkan agama Allah. Dia termasuk 7 orang yang pertama sekali menunjukkan keIslamannya di Mekah.

 

Leave A Reply

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More