Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Larangan Rentas Daerah, Negeri di Seluruh Negara Bermula 10 Mei

Larangan rentas daerah, negeri. Semua aktiviti rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara adalah tidak dibenarkan mulai 10 Mei sehingga 6 Jun 2021, umum Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun, mereka yang perlu merentas daerah atas faktor kerja, tidak memerlukan permit atau kebenaran PDRM, sebaliknya memadai dengan mengemukakan surat pengesahan syarikat.
rentas

Larangan Rentas Serta Beberapa Aktiviti Lain

Beliau berkata, selain itu terdapat beberapa aktiviti lain yang tidak dibenarkan dalam tempoh tersebut dalam usaha kerajaan mengawal penularan COVID-19 di seluruh negara.

“Ia merangkumi aktiviti sosial, pendidikan dan ekonomi yang boleh menyebabkan perhimpunan, atau kesesakan awam.

“Selain itu, aktiviti rasmi, sosial dan bersemuka oleh kerajaan dan swasta, adalah tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Bagaimanapun, ujarnya keputusan ini akan disemak semula selepas dua minggu.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, semua bazar Ramadan dan Aidilfitri dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan ditutup mulai Isnin ini.

Beliau berkata, bazar Ramadan yang tersenarai dalam sistem Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (HIDE) akan ditutup tiga hari berkuat kuasa serta- merta.

“Kerajaan pernah memberi amaran prosedur operasi standard (SOP) akan diperketatkan di semua kawasan PKP, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sekiranya kes COVID-19 meningkat di seluruh negara.

“Ketika ini, kerajaan sentiasa meneliti SOP dan sekiranya berlaku pertambahan kes harian, kerajaan akan mendapatkan nasihat dan penilaian risiko daripada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membolehkan SOP itu diperketatkan,” katanya.

Beliau berkata, trend penularan COVID-19 dalam negara semakin membimbangkan ditambah dengan penemuan varian baharu virus itu.

Katanya, ia menyebabkan beberapa negeri melaksanakan PKP secara bersasar seperti Kedah, Selangor, Johor dan terbaharu Pulau Pinang serta Pahang, susulan beberapa kawasan di negeri berkenaan bertukar menjadi zon merah.

“Bagi memastikan tiada kekeliruan, segala keputusan dan pengumuman pelaksanaan PKP di mana-mana kawasan atau negeri akan dibuat oleh Kerajaan Persekutuan selepas ia diputuskan dalam sidang mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

 

Sumber : Berita Harian

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More