Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Lelaki bawa pisau ditahan cetus kekecohan dalam masjid

GEORGETOWN: Seorang lelaki ditahan polis selepas didapati membawa sebilah pisau ke dalam masjid di Taman Tun Sardon, Gelugor, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya menerima laporan yang mendakwa lelaki itu mengganggu jemaah kira-kira pukul 8 malam.

“Hasil pemeriksaan mendapati suspek membawa sebilah pisau yang diletakkan di dalam sebuah beg.

“Semakan lanjut turut mendapati dia mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Soffian berkata, kejadian berkenaan tular di dalam media sosial apabila video yang memaparkan anggota polis sedang menahan suspek berusia 35 tahun dimuat naik pengguna sejak semalam.

“Terdapat dakwaan di media sosial kononnya pihak polis membuat tangkapan itu kerana kesalahan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

“Namun, berita yang tular itu adalah tidak benar,” katanya.

Beliau berkata, suspek direman selama tiga hari sehingga esok bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Lelaki bawa pisau ditahan cetus kekecohan dalam masjid 1
pisau

Sementara itu, video kejadian itu yang tular memaparkan anggota polis menahan seorang lelaki berbaju Melayu berwarna hijau yang sedang duduk di dalam masjid.

Satu video lain yang turut tular dipercayai kejadian sama memaparkan suspek meninggikan suara seperti memarahi orang lain di kawasan ruangan solat di masjid berkenaan.

Sumber Utusan Malaysia

Artikel lain: Pakai niqab tanpa pelitup muka salah

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More