Maqasid Syariah: Kategori, 5 Prinsip Asas, Teras & Kepentingan

Berikut adalah sedikit perkongsian mengenai Maqasid Syariah yang mungkin ramai lagi umat Islam tidak mengetahuinya.
Isi Kandungan
Apa Itu Maqasid Syariah?
Maqasid Syariah merujuk kepada tujuan atau objektif utama syariat Islam, iaitu untuk membawa kemaslahatan (kebaikan) kepada manusia di dunia dan akhirat serta ia merupakan kerangka yang membimbing pemahaman dan aplikasi hukum syarak dalam kehidupan.
Maqasid Syariah adalah tujuan yang ingin dicapai oleh Allah SWT melalui hukum-hukum syariat, yang bertujuan untuk mewujudkan kemaslahatan manusia.
Kemaslahatan ini merangkumi aspek duniawi dan ukhrawi, iaitu kebaikan yang dirasai di dunia dan juga di akhirat.
Kesimpulannya, maksud Maqasid Syariah adalah objektif atau matlamat utama yang dibawa oleh syariat Islam demi kebaikan dan kepentingan sejagat.
Kategori Maslahah Dalam Maqasid Syariah
Secara umum, maslahah dalam Maqasid Syariah dibahagikan kepada tiga (3), iaitu:
| Maslahah Daruriyyat (Keperluan Asas) | Ini adalah keperluan asas yang mutlak untuk kelangsungan hidup manusia dan agama. Contohnya, menjaga agama (hifz al-din), menjaga nyawa (hifz al-nafs), menjaga akal (hifz al-‘aql), menjaga keturunan (hifz al-nasl) dan menjaga harta (hifz al-mal). |
| Maslahah Hajiyyat (Kemudahan & Kelapangan) | Ini adalah keperluan yang melengkapi dan menyempurnakan keperluan asas. Contohnya, kemudahan dalam menjalankan ibadah, seperti kemudahan dalam mencari rezeki, kemudahan dalam menjalankan urusan perniagaan dan kemudahan dalam berkomunikasi. |
| Maslahah Tahsiniyyat (Kesempurnaan) | Ini adalah keperluan yang melengkapi dan memperindah kehidupan manusia. Contohnya, menjaga kebersihan, menjaga adab dan akhlak serta mengamalkan nilai-nilai murni. |
Prinsip Maqasid Syariah
Terdapat 5 prinsip Keperluan Asas yang perlu diikuti di Malaysia, iaitu
| Menjaga Agama | Memelihara Agama (hifz ad-din) bermaksud untuk mengelakkan apa-apa yang mungkin melanggar dan memusnahkan asas-asas, yang termasuk mempertahankan negara dan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan agama-agama lain yang boleh diamalkan secara aman dan harmoni sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. |
| Menjaga Nyawa | Memelihara Nyawa (hifz an-nafs) adalah memelihara maruah, persaudaraan dan kesaksamaan sosial, keadilan, keselamatan hidup, harta dan maruah, pemerintahan yang baik, mengurangkan kadar kemiskinan dan memenuhi keperluan pekerjaan, pengagihan saksama pendapatan dan kekayaan, perkahwinan dan kehidupan keluarga yang stabil, perpaduan sosial dan pengurangan jumlah jenayah serta keamanan dan kestabilan negara. |
| Menjaga Akal | Memelihara akal (hifz al-‘aql) bermaksud memberi perlindungan kepada akal manusia dari apa-apa yang akan merosakkan. Akal wajib dipelihara dan dipupuk dengan nilai-nilai mulia dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat. Semua unsur-unsur yang menjurus kepada kehilangan dan merosakkan akal serta pemikiran seperti arak, dadah serta filem yang merosakkan, sudah semestinya perlu dibanteras dan dihalang dengan segera. |
| Menjaga Keturunan | Memelihara keturunan (hifz al-nasl) pula adalah melibatkan perlindungan dan pemeliharaan keturunan dan ia adalah penting untuk membentuk masyarakat yang sihat, produktif dan berkesan. Keturunan wajib dipelihara demi menjaga sistem sosial dalam masyarakat. |
| Menjaga Harta | Memelihara harta (hifz al-mal) bermaksud melindungi kekayaan masyarakat daripada kehancuran dan dari peralihan harta ke tangan orang lain dengan cara yang tidak sah termasuk larangan terhadap ketidakadilan, menafikan hak dan sebagainya. |

Teras Maqasid Syariah
Tiga (3) teras Maqasid Syariah yang perlu dihayati dan dipraktikkan dalam tadbir urus negara adalah seperti berikut:
- Memelihara kestabilan sistem kehidupan manusia dan mengekalkan kebaikan padanya.
- Bertoleransi dan adil.
- Sentiasa melakukan proses pembaikan dan penambahbaikan secara berterusan dalam segenap aspek kehidupan, individu, masyarakat dan negara.
Kepentingan Maqasid Syariah
Kepentingan pengamalan dan penghayatan Maqasid Syariah dalam pentadbiran negara terserlah melalui perkara-perkara berikut:
- Memberikan fleksibeliti dalam urusan pentadbiran sejajar dengan kemaslahatan.
- Menghasilkan tindakan-tindakan yang berpandangan jauh yang membawa kepentingan kepada negara dan rakyat.
- Menyerlahkan kesempurnaan Islam dan kesejagatan.
- Membantu umat Islam memahami tujuan sebenar di sebalik hukum-hukum syarak.
- Membantu dalam mengaplikasikan hukum syarak secara tepat dan sesuai dengan konteks semasa.
- Membantu mencapai kesejahteraan individu dan masyarakat dengan memastikan pemeliharaan kepentingan-kepentingan utama (daruriyyat).
- Mencegah penyelewengan dan penyalahgunaan hukum syarak.
- Memastikan keadilan dan kesaksamaan dalam pelaksanaan hukum syarak.
Dengan memahami dan mengaplikasikan Maqasid Syariah, umat Islam dapat menjalani kehidupan yang lebih baik, sejahtera dan sesuai dengan ajaran Islam.
Semoga perkongsian ini bermanfaat!



