Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Murid Tahun 6 Dirogol 5 Lelaki

Kes murid tahun 6 dirogol 5 lelaki di Dungun telah menjadi bualan netizen sejak beberapa hari lepas. Hasil daripada laporan itu, seramai lima orang lelaki termasuk seorang pelajar tingkatan empat telah ditahan kerana telah disyaki merogol murid tahun enam tersebut pada 29 September lepas.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharuddin Abdullah berkata kesemua suspek berusia antara 16 hingga 23 tahun itu telah ditahan kira-kira pukul 5 hingga 6.30 pagi tadi selepas ibu mangsa membuat laporan polis semalam.

Murid tahun 6 dirogol 5 lelaki

“Dalam kejadian 29 September lepas, kira-kira dalam pukul 9 malam, mangsa yang sedang menunggang motosikal berseorangan untuk mengambil ibunya yang berniaga di pasar malam, secara tiba-tiba dihimpit sebuah motosikal yang dinaiki oleh dua suspek yang telah mengarahkan mangsa memberhentikan motosikalnya.

“Salah seorang suspek yang dikenali mangsa kemudiannya menunggang motosikal milik mangsa dan telah membawa mangsa bersamanya ke sebuah kawasan ladang sawit sebelum merogol mangsa bersama empat rakannya yang lain,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun, di sini hari ini.

Baharuddin berkata semasa kejadian salah seorang suspek bertindak merampas telefon bimbit milik mangsa bagi mengelakkan mangsa daripada meminta bantuan.

Menurut beliau, kejadian itu terbongkar selepas ibu mangsa menyedari perubahan sikap anaknya yang bertukar murung, sebelum mangsa menceritakan kejadian tersebut dan dibawa ke Hospital Dungun untuk pemeriksaan lanjut.

Kesemua suspek telah direman selama seminggu bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 375 (b) Kanun Keseksaan.

Kes-kes seperti ini harus diambil serius oleh semua pihak supaya ia tidak lagi berlaku. Selain itu kes buli juga perlu dipandang serius, kerana kes-kes ini sering berlaku walaupun tidak dipaparkan di media massa.

Sumber info: BERNAMA

Leave A Reply

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More