Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Pelajar Ditipu Sindiket Pinjaman

Pelajar Dikenakan RM6,360 Oleh Sindiket Pinjaman

KUANTAN: Seorang pelajar lelaki kerugian RM6,360 selepas diperdaya sindiket pinjaman wang tidak wujud yang menawarkan kemudahan itu di laman web, kelmarin.

pelajar

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata kejadian bermula apabila mangsa pelajar berusia 22 tahun melayari satu laman web dan tertarik dengan iklan pinjaman wang.

“Mangsa kemudian mendaftarkan butir peribadi sebelum dihubungi seorang lelaki kononnya daripada sebuah syarikat pinjaman wang.

“Hasil perbincangan dengan suspek, mangsa pelajar bersetuju membuat pinjaman wang RM1,000 dengan syarikat berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagi mendapatkan pinjaman berkenaan, mangsa diminta membuat pelbagai bayaran berjumlah RM6,360 membabitkan lima transaksi ke dalam akaun diberikan suspek.

Katanya, sehingga kini mangsa belum menerima wang pinjaman berkenaan dan diminta membuat bayaran lagi.

“Mangsa juga menerima panggilan kononnya daripada majikan syarikat berkenaan yang memarahi mangsa sebab melanggar perjanjian dan memintanya memasukkan wang sebanyak RM1,260 ke akaun sama.

“Mangsa yang berasa ditipu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda,” katanya.

Difahamkan, mangsa menggunakan duit simpanannya dan meminjam wang daripada keluarga serta rakannya untuk membayar wang memproses permohonan pinjamannya itu.

Sumber Berita Harian

Artikel lain: 5 Tips Untuk Menyesuaikan Anak Semasa Bulan Puasa.

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More