Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Pelajar Rugi RM15,300 Akibat Sindiket Iphone X Murah

1. Pelajar beli iPhone RM300, rugi RM15,300

KEPALA BATAS – Seorang pelajar lelaki kerugian RM15,300 selepas ditipu penjual dalam talian pada Sabtu gara-gara ingin membeli telefon bimbit jenama iPhone dengan harga murah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa berusia 17 tahun terbaca iklan penjualan telefon bimbit dari Singapura di aplikasi Instagram yang menawarkan telefon bimbit Iphone X dengan harga RM300 lalu berminat untuk memilikinya.

“Mangsa kemudian menghubungi penjual telefon bimbit tersebut melalui sistem pesanan ringkas di Instagram. Mangsa diminta untuk membuat bayaran ke dalam akaun bank diberi dan dijanjikan akan menerima telefon Iphone tersebut dalam masa terdekat.

“Pada masa sama, mangsa dihubungi dua individu lain yang memperkenalkan diri wakil daripada pihak jaminan (warranty) Apple dan pihak Kastam dari Singapura. Kedua-duanya meminta mangsa untuk membuat beberapa bayaran dan berjanji wang mangsa akan dipulangkan semasa dia menerima kiriman telefon tersebut,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Beliau berkata, mangsa yang tidak menyedari ia merupakan taktik penipuan sindiket penjualan telefon bimbit membuat beberapa bayaran ke dalam tiga akaun bank berbeza secara berperingkat.

“Jumlah keseluruhan wang yang dimasukkan mangsa adalah RM15,000 kerana dia mempercayai wang tersebut akan dipulangkan semula. Mangsa hanya sedar ditipu apabila individu tersebut masih memintanya untuk membayar RM 15,000 kepada mereka bagi mencukupkan nilai RM30,000.

“Wang itu kononnya untuk proses kiriman telefon Iphone yang dibeli mangsa dan jumlah tersebut akan dipulangkan semula kepadanya. Mangsa kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Noorzainy berkata, pelajar tersebut menggunakan wang bapanya yang juga seorang ahli perniagaan untuk membeli telefon bimbit itu.

2. Ibu tunggal rugi RM57,300 diperdaya cinta palsu

Dalam kes berlainan, seorang wanita mengalami kerugian RM57,300 selepas diperdaya oleh sindiket Love Scam di media sosial pada Sabtu.

Noorzainy berkata, mangsa yang juga pesara berusia 55 tahun berkenalan dengan seorang lelaki yang mengaku tinggal di luar negara.

“Setelah berkenalan dengan mangsa beberapa bulan di media sosial, mereka mula menjalin hubungan cinta dan suspek berjanji akan datang dan bertemu mangsa di Malaysia.

“Mangsa yang percaya dengan janji manis tersebut mula percaya apabila individu itu mengatakan mahu menghantar hadiah sebagai tanda cintanya,” katanya.

Beliau berkata, beberapa hari berikutnya, mangsa dihubungi individu lain yang mengaku daripada pihak kurier dan memaklumkan hadiah tersebut terpaksa ditahan di lapangan terbang oleh pihak kastam.

“Suspek mendakwa pihak kastam mendapati wang tunai matawang USD yang banyak berada dalam hadiah tersebut. Mangsa kemudian diminta untuk membuat bayaran bagi melepaskan hadiah tersebut daripada pihak kastam.

“Mangsa yang teruja untuk menerima hadiah tersebut tanpa mengetahui ditipu telah membuat hampir 10 kali transaksi ke dua akaun bank yang diberikan secara berperingkat dengan jumlah RM57,300.

“Bagaimanapun, mangsa hanya sedar ditipu apabila individu tersebut masih meminta untuk mangsa membuat bayaran dan sekiranya tidak berbuat demikian, mangsa diugut akan ditangkap oleh pihak kastam,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua kes tersebut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sumber Sinar Harian

Artikel Lain : Pelajar Ditipu Sindiket Pinjaman

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More