Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Jenis, Lafaz, Kesan & Akibat Perceraian Dalam Islam

Islam adalah agama yang menggalakkan umatnya mengeratkan silaturahim dan menjaga hubungan sesama manusia.

Oleh itu, sebarang perkara yang membawa kepada perbalahan atau perpecahan adalah dicemuh dan dilarang oleh syarak.

Perceraian dalam islam adalah salah satu larangan kerana ia boleh membawa kepada keruntuhan sesebuah ikatan hubungan.

Isi Kandungan

Apa Itu Perceraian?

Perceraian bermaksud menamatkan hubungan perkahwinan sama ada dengan pilihan suami atau dengan keputusan kadi. 

Perceraian dari segi bahasa bermaksud berpisah. Dari segi istilah pula bermaksud keruntuhan hubungan perkahwinan dan terputusnya hubungan suami isteri dengan bersebab.

Jenis, Lafaz, Kesan & Akibat Perceraian Dalam Islam 1
Perceraian Dalam Islam

Jenis Perceraian Dalam Islam

Jenis-jenis perceraian dalam islam adalah seperti yang berikut:

Perceraian Dengan Persetujuan / Dengan Perintah MahkamahPerceraian dengan persetujuan atau dengan perintah mahkamah bererti, seorang suami atau isteri membuat permohonan kepada mahkamah dengan mengisi borang-borang tertentu untuk bercerai sekiranya kedua-dua pihak bersetuju untuk berbuat demikian.
Perceraian TaklikMaksud cerai taklik ialah lafaz cerai yang dikaitkan dengan suatu janji yang telah dibuat oleh suami selepas akad nikah disempurnakan. Pada lazimnya, taklik tersebut menyebut antara lain:
– Sekiranya suami meninggalkan isteri lebih daripada enam bulan tanpa memberi nafkah zahir atau batin secukupnya; atau
– Sekiranya suami memukul atau mendera isteri atau mendatangkan mudarat kepada isterinya.
Isteri yang ditinggalkan atau dicederakan seperti di atas boleh mengadu kepada Mahkamah Syariah di kawasan yang berhampiran dengan tempat tinggalnya dan sekiranya pengaduan itu sabit dan disahkan oleh Mahkamah, maka terjadilah perceraian secara taklik.
Perceraian taklik boleh juga berlaku apabila seorang suami yang membuat janji atau memberi amaran kepada isteri supaya melakukan atau meninggalkan daripada melakukan sesuatu.
Perceraian FasakhPerceraian fasakh ialah pembatalan atau pembubaran perkahwinan antara suami isteri melalui perintah Mahkamah. Seseorang isteri boleh membuat permohonan cerai fasakh kepada Mahkamah, antara lain, atas alasan seperti yang ditetapkan oleh Makhkamah, bergantung pada Negeri tempat dia tinggal.
Perceraian Tebus Talak (Khuluk)Perceraian tebus talak atau khuluk ialah suatu perceraian yang diminta oleh isteri daripada suaminya dengan memberi wang atau harta benda lain kepada suaminya.

Jenis Lafaz Perceraian Dalam Islam

Lafaz perceraian boleh dibahagikan kepada 2 jenis iaitu:

  1. Dalam bentuk jelas (sareh).
  2. Dalam bentuk tidak jelas atau sindiran (kinayah).

Lafaz sareh ialah lafaz yang menggunakan ucapan yang jelas dan tegas dengan maksud menunjukkan makna perceraian.

Contohnya, “Aku talakkan engkau” atau “Aku ceraikan engkau dengan talak 1, 2 atau 3”.

Dengan ucapan di atas, perceraian tetap berlaku diantara keduanya walaupun tanpa niat pada pihak suami.

Lafaz kinayah pula ialah suatu lafaz yang boleh bererti talak dan boleh pula membawa erti yang lain. Lafaz itu haruslah dilihat hubungannya dengan suasana sebelum dan sesudahnya serta tanda-tanda (qarinah) yang mempertegas erti yang dimaksudkan dan juga niat pihak suami.

Contoh lafaz kinayah seperti, “Baliklah kamu kepada ibu bapa kamu” atau “Saya tak hendak kepada kamu lagi” atau “Mulai hari ini berpisahlah kita berdua”.

Kesan perkataan-perkataan atau lafaz-lafaz seperti di atas adalah bergantung pada niat suami yang melafazkannya itu. Jika dia berniat menceraikan isterinya, terjadilah perceraian. Sebaliknya, jika dia tidak berniat menceraikan isterinya, lafaz tersebut tidak memberi kesan perceraian.

Selain 2 Jenis Lafaz Perceraian Di Atas, Bolehkah Perceraian Berlaku?

Perceraian juga boleh berlaku melalui sistem khidmat pesanan ringkas (sms), e-mel, faksimile, facebook, twitter dan lain-lain.

Siapakah Yang Boleh Menentukan Berlaku / Tidak Berlakunya Sesuatu Perceraian?

Hanya Mahkamah Syariah di tempat suami isteri itu tinggal atau bermastautin boleh menentukan secara rasmi dan muktamad sama ada sesuatu lafaz yang diucapkan oleh suami kepada isterinya itu, sama ada dengan menggunakan perkataan jelas atau sindiran, telah mengakibatkan atau membawa kesan perceraian.

Kesan & Akibat Kepada Perceraian Dalam Islam

Islam melarang perceraian kerana sesuatu perceraian boleh membawa kepada kesan atau akibat seperti yang berikut:

Perceraian Secara PersetujuanPihak-pihak kepada perceraian yang dilakukan atas persetujuan bersama boleh mengatur tentang pembahagian perbelanjaan harta, harta sepencarian, penjagaan anak-anak, nafkah dan perkara lain sebagaimana yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
Perceraian TaklikSeorang isteri yang bercerai melalui taklik tidak boleh kembali atau rujuk kepada pernikahannya yang dahulu melainkan dengan suatu akad nikah yang baru.
Perceraian FasakhSeseorang yang bercerai melalui cerai fasakh tidak boleh kembali atau rujuk kepada suaminya melainkan jika didahului dengan akad nikah yang baru.
Tebus TalakSeseorang yang bercerai melalui tebus talak tidak boleh kembali atau rujuk kepada suaminya melainkan jika didahului dengan akad nikah yang baru.

Idah Perceraian Dalam Islam

Idah atau ‘iddah adalah suatu tempoh masa yang wajib dilalui oleh seseorang perempuan (isteri) selepas perceraian atau kematian suami.

Tujuannya adalah untuk menentukan sama ada isteri itu hamil atau tidak dan dengan itu dapat diketahui siapa bapa si anak yang dikandung itu.

Isteri yang diceraikan oleh suaminya adakalanya telah disetubuhi oleh suaminya dan adakalanya belum.

Jika belum disetubuhi oleh suaminya, maka dia tidak mempunyai idah.

Bagi isteri yang hamil, idahnya sama ada cerai hidup atau cerai mati, adalah sehingga dia melahirkan anak yang dikandungnya itu.

Bagi isteri yang tidak hamil, jika dicerai hidup, dan dia mempunyai haid, tempoh idahnya ialah tiga kali suci. Tetapi sekiranya perempuan itu tidak mempunyai haid, tempoh idah ialah tiga bulan sahaja.

Ada tiga keadaan sekiranya seseorang perempuan itu tidak mempunyai haid, iaitu:

  • yang masih kecil atau belum baligh,
  • yang sudah baligh tetapi belum pernah datang haid, dan
  • yang sudah pernah datang haid tetapi sudah tua atau putus haidnya.
Jenis, Lafaz, Kesan & Akibat Perceraian Dalam Islam 2
Perceraian Dalam Islam

Semoga perkongsian ini bermanfaat!

Artikel Berkaitan: Larangan Membuka Aib Pasangan

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. AcceptRead More