Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Peristiwa Nuzul Al-Quran 17 Ramadhan

Salam Nuzul Al-Quran 17 Ramadhan 1441H. Selamat Menyambut Nuzul Al-Quran kepada semua umat Islam di Malaysia. Disini dikongsikan serba ringkas sejarah peristiwa Nuzul Al-Quran untuk dijadikan rujukan dan panduan kita semua.

Isi Kandungan

Sejarah Nuzul Al-Quran 17 Ramadhan

Nuzul Al-Quran 17 Ramadhan
Nuzul Al-Quran 17 Ramadhan

Nuzul Al-Quran antara peristiwa agung dalam sejarah umat Islam iaitu turunnya kitab suci Al-Quran atau disebut Nuzul Al-Quran yang berlaku  di bulan Ramadhan.

Ianya dirakamkan dalam Al-Quran, melalui firman Allah yang bermaksud: “Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekelian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Penurunan Al-Quran adalah sebagai satu mukjizat yang membuktikan kerasulan Nabi Muhammad SAW dan kewujudan Allah SWT dengan segala sifat-sifat kesempurnaanNya.

Peristiwa Nuzul Al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadhan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW bersamaan dengan 6 Ogos 610M, sewaktu Baginda sedang beribadat di dalam Gua Hira.

Perkataan ‘Nuzul’ itu sendiri membawa maksud turun atau berpindah, dari atas ke bawah atau turun dari tempat yang tinggi.   Al-Quran pula bermaksud bacaan atau himpunan.

Secara teknikalnya Nuzul Al-Quran bererti penurunan Al-Quran dari langit kepada Nabi Allah yang terakhir.   Perkataan Nuzul dalam pelbagai wajah sama ada kata nama, kata perbuatan atau lainnya digunakan dalam Al-Quran sebanyak lebih kurang 290 kali.  Sebagai contoh, “Dia yang telah…menurunkan hujan.” (al-Baqarah:22), “Dialah….yang menurunkan Taurat Dan Injil.” (Ali Imran:3) dan banyak lagi ayat-ayat lain.

Ayat Pertama yang Diturunkan

Ayat Al-Quran yang pertama diturunkan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraannya Malaikat Jibril adalah 5 ayat pertama daripada surah Al-Alaq.

Firman Allah SWT;

 بِسْمِ ٱللَّـهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

ٱقْرَأْ بِٱسْمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ ﴿١﴾ خَلَقَ ٱلْإِنسَـٰنَ مِنْ عَلَقٍ ﴿٢﴾ ٱقْرَأْ وَرَبُّكَ ٱلْأَكْرَمُ ﴿٣﴾ ٱلَّذِى عَلَّمَ بِٱلْقَلَمِ ﴿٤﴾ عَلَّمَ ٱلْإِنسَـٰنَ مَا لَمْ يَعْلَمْ ﴿٥

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), (1) Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; (2) Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, – (3) Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, – (4) Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. (5).” 

 [Surah Al-Alaq (96): Ayat 1-5].

Al Quran Satu Mukjizat

Sesungguhnya, Al-Quran merupakan mukjizat yang paling besar dikurniakan kepada Nabi Muhammad SAW.  Ia merupakan panduan lengkap kehidupan yang tiada cacat celanya dan ianya memberi makna yang terlalu istimewa kepada umat Islam.

Bersempena Sambutan Nuzul Al-Quran hari ini, marilah kita semua menghayati ia sebagai suatu peristiwa besar yang penuh makna dan penuh hikmah.

Peristiwa Nuzul Al-Quran 17 Ramadhan 1
Nuzul Al-Quran 17 Ramadhan

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More