Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Permohonan IPG 2021 Lepasan SPM (PISMP)

Permohonan IPG 2021 Lepasan SPM (PISMP) telah dibuka untuk Fasa 2, dan juga Ambilan Khas Lepasan SPM yang mempunyai Sijil Menengah Agama (SMA), Sijil Menengah Ugama (SMU) dan Sijil Unified Examination Certificate (UEC).

 

Permohonan IPG 2021 Lepasan SPM

Institut Pendidikan Guru (IPG)

Dahulunya hanya melahirkan graduan bertaraf diploma dan sijil, Maktab Perguruan di Malaysia kini telah layak menganugerahkan Ijazah Sarjana Muda Perguruan kepada pelajarnya yang tamat pengajian. Naiktaraf 27 buah Maktab Perguruan di Malaysia kepada Institut Pendidikan Guru (IPG) ini telah diluluskan Jemaah Menteri pada 13 Julai 2005.

Naik taraf tersebut kini menjadikan IPG sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang setaraf dengan universiti, dan kini melaksanakan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP). IPG telahpun melahirkan graduan sulung bagi PISMP pada tahun 2011, yang telah menerima Ijazah Sarjana Muda Perguruan mereka.

Selari dengan Akta Pendidikan 1996, Insititut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan juga IPG telah diamanahkan untuk melaksana Program Pendidikan Keguruan Pra-Perkhidmatan dan Dalam Perkhidmatan. Satu Senat turut diwujudkan bagi membuat keputusan mengenai dasar-dasar akademik IPG. IPGM turut menggalas tanggungjawab dalam merancang serta memantau Perkhidmatan Pendidikan Keguruan (PPK) yang dilaksanakan oleh IPG.

Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP)

Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) ini adalah tidak lainnya mempunyai matlamat untuk melatih bakal guru di Institut Pendidikan Guru (IPG) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). PISMP ini mempuyai pelbagai bidang pengkhususan sejajar dengan keperluan di sekolah.

Pemohon bagi program ini wajib mengikuti Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP) selama dua belas (12) bulan di IPG yang telah ditetapkan oleh KPM. Mereka yang lulus PPISMP bakal diberi Sijil Tamat PPISMP sebelum ditawarkan untuk mengikuti pengajian PISMP selama empat (4) tahun di IPG yang akan ditetapkan oleh KPM.

Kedua-dua PPISMP dan PISMP adalah dilaksanakan secara mod sepenuh masa.

Permohonan IPG 2021 Lepasan SPM (PISMP)

Permohonan IPG 2021 Lepasan SPM bagi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) ini akan dibuka dan hanya boleh dimohon secara atas talian.

Hebahan ini adalah khusus buat pelajar lepasan SPM yang ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang perguruan. Permohonan secara online bagi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di IPG seluruh negara akan dibuka mulai 16 Julai 2021 bagi kategori Pengambilan Khas berikut:

  1. Pengambilan Khas Calon Guru bagi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Fasa 2.
  2. Pengambilan Khas bagi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Lepasan SPM yang mempunyai Sijil Menengah Agama (SMA) atau Sijil Menengah Ugama (SMU) dan Sijil Unified Examination Certificate (UEC).

Syarat Permohonan

Syarat-syarat bagi permohonan tertakluk kepada jenis Ambilan PISMP, terbahagi seperti berikut:

Jenis Ambilan Pengambilan Khas PISMP Fasa 2 Pengambilan Khas PISMP (SMA/SMU/UEC)
Syarat Asas
  • Warganegara Malaysia
  • Umur tidak melebihi 20 tahun pada 30 Jun 2021
  • Sihat tubuh badan
  • Aktif dalam kegiatan kokurikulum
  • Warganegara Malaysia
  • Umur tidak melebihi 20 tahun pada 30 Jun 2021
  • Sihat tubuh badan
  • Aktif dalam kegiatan kokurikulum
Kelayakan /Syarat Khusus
  • Memperoleh gred cemerlang sekurang-kurangnya lima (5) mata pelajaran di peringkat SPM
  • Memperoleh sekurang-kurangnya gred kepujian bagi tiga (3) mata pelajaran Bahasa Melayu, Sejarah dan Bahasa Inggeris
  • Lulus SPM dengan memperoleh sekurang-kurangnya 6 kepujian termasuk mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan lulus Sejarah.
  • Bagi lulusan SMA/SMU, mesti memiliki sekurang-kurangnya tiga (3) gred kepujian di peringkat SMA atau SMU
  • Bagi lulusan UEC, mesti memiliki sekurang-kurangnya tiga (3) gred kepujian di peringkat Sijil Senior Middle Level (UEC-SML)

Iklan Permohonan IPG 2021 Lepasan SPM

PERMOHONAN IPG 2021 LEPASAN SPM

Iklan permohonan telah pun dikeluarkan di portal KPM, Facebook IPG dan laman web PISMP pada 15 Julai 2021, atau anda boleh dapatkan iklan tersebut di bawah:

  1. IKLAN_PISMP_FASA 2_TAHUN 2021
  2. IKLAN_PISMP_UEC_SMA_SMU

Permohonan hanya boleh dibuat secara atas talian di laman sesawang PISMP mulai 16 Julai 2021, sehingga 22 Julai 2021.

Permohonan akan ditapis berdasarkan syarat-syarat kelayakan dan kriteria yang telah ditetapkan oleh KPM.

Mohon PISMP Tahun 2021 di sini

Di sini admin nak kongsikan pautan (link) untuk membuat permohonan. Silakan share link ini dengan semua calon-calon lepasan SPM 2020.

  • Laman sesawang PISMP: https://pismp.moe.gov.my/
  • Pemohon boleh mula membuat permohonan bermula 16 Julai 2021 jam 10.30 pagi sehingga 22 Julai 2021 (11.59 malam).

Panduan Untuk Pemohon

Sebelum anda membuat permohonan, pastikan anda membaca dengan jelas iklan permohonan bagi ambilan tertentu. Anda juga dinasihatkan untuk merujuk perkara berikut:

  • Panduan Ujian Kelayakan Calon Guru (UKCG)
  • Panduan Penyediaan Video Pengajaran
  • Panduan Penyediaan Video Kecergasan Fizikal (VKF)
  • Syarat Bidang
  • Kalendar Aktiviti

Panduan bagi UKCG, VKF dan Video Pengajaran ada disediakan di pautan ini: https://pismp.moe.gov.my/maklumat_penting.cfm

Panduan Sebelum Menghantar Permohonan

Sebelum anda ingin menghantar permohonan, di sini ada panduan untuk semua pemohon bagi memastikan permohonan anda berjalan lancar:

  • Pemohon hanya dibenarkan untuk mengemukakan SATU (1) sahaja permohonan dan pemohon boleh mengemaskini permohonan pada bila-bila masa sehingga tarikh permohonan ditutup.
  • Permohonan hendaklah disahkan dan dihantar sebelum tarikh tutup permohonan. Permohonan yang berjaya dihantar akan menerima nombor rujukan sebagai pengesahan.
  • PERINGATAN PENTING: Maklumat yang tidak benar dan tidak lengkap akan mengakibatkan permohonan anda DITOLAK. Pemohon yang didapati memberi maklumat salah / memanipulasikan maklumat dalam borang permohonan akan diambil tindakan dengan menarik balik surat tawaran dan dikenakan tindakan undang-undang.

Maklumat Lanjut PISMP

Untuk sebarang pertanyaan mengenai permohonan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP), anda boleh hubungi bahagian Institut Pendidikan Guru Malaysia di Kementerian Pendidikan Malaysia menerusi maklumat berikut:

Alamat:

INSTITUT PENDIDIKAN GURU MALAYSIA
KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
ARAS 1-3, BLOK 2250, JALAN USAHAWAN 1
63000 CYBERJAYA, SELANGOR

(u.p: Jabatan Pengambilan dan Penempatan Pelajar, Pusat Hal Ehwal Pelajar)

No. Telefon : 03-8312 6768/6693/6731/6769
emel : [email protected]

Infografik Prosedur Kemasukan PISMP

Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia telah menyediakan satu infografik mudah dalam menjelaskan prosedur kemasukan pemohon ke dalam Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP), seperti di bawah:

PERMOHONAN IPG 2021 LEPASAN SPM

Semoga perkongsian kali ini amat bermanfaat buat semua pelajar lepasan SPM 2020, terutama yang ingin melanjutkan pengajian ke bidang perguruan. Pastikan anda membuat persediaan secukupnya mengikut panduan yang telah diberi sebelum anda membuat permohonan. Buat pelajar SPM 2020, jangan lupa untuk semak dan muat turun keputusan SPM 2020 anda. Selamat maju jaya buat semua!

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More