Sumber Rujukan Globalisasi Anda

PKPD beberapa kawasan Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang esok

1 Kawasan Kelantan dan 8 Kawasan Negeri Sembilan PKPD Esok

kawasan

KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di kawasan sebuah maahad tahfiz di Machang, Kelantan, sebuah kampung di Gemas, Negeri Sembilan dan tujuh penempatan di Sungai Chalit dan Sungai Klau, Raub, Pahang, mulai esok.

PKPD di Machang membabitkan Maahad Tahfiz Al Azhari (MTAZ) selepas Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan 87 kes positif COVID-19 daripada 207 keseluruhan ujian saringan yang dilakukan ke atas pelajar dan penghuni maahad terbabit.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata KKM juga memaklumkan kes sudah menular dalam kalangan warga MTAZ dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi berdasarkan trend pertambahan kes baharu.

“Setelah membuat penilaian risiko dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di MTAZ berkuat kuasa 29 April (esok) hingga 12 Mei ini.

“Pelaksanaan PKPD ini bagi memudahkan KKM membuat pengesanan awal kes bagi membendung penularan dalam kalangan pelajar dan penghuni maahad berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, katanya, PKPD juga akan dilaksanakan di Kampung Bangkahulu, Gemas mulai esok hingga 12 Mei selepas KKM merekodkan 38 kes positif COVID-19 daripada 170 ujian saringan yang dilakukan ke atas penduduk di kampung itu.

“Pada masa sama, KKM juga mengesahkan berlaku peningkatan kes dalam tempoh dua minggu manakala kadar positiviti kes tinggi iaitu 22.9 peratus.

“Keputusan melaksanakan PKPD ini untuk menyekat pergerakan keluar masuk bagi memastikan tiada penyebaran jangkitan keluar ke komuniti,” katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata kerajaan turut memutuskan untuk melaksanakan PKPD di dua penempatan sekitar Sungai Chalit dan lima penempatan sekitar Sungai Klau, Raub mulai esok hingga 12 Mei ini.

“Penempatan di Sungai Chalit yang dikenakan PKPD ialah Kampung Baru Sungai Chalit dan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Sungai Chalit.

“PKPD di Sungai Klau pula membabitkan Taman Sungai Klau, Taman Maju Sungai Klau, Taman Kelau Jaya, Taman Harmoni dan Kampung Sungai Klau.

“Sehingga kini, KKM merekodkan empat kes di Sungai Chalit dan satu kes positif di Sungai Klau, manakala terdapat tujuh sampel ujian masih menunggu keputusan,” katanya.

Ismail Sabri berkata, pelaksanaan PKPD itu bertujuan menyekat penularan jangkitan COVID-19 dari kawasan berisiko ke kawasan lain.

Sumber Berita Harian

Artikel lain: COVID-19: Perokok berisiko mendapat komplikasi lebih teruk

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More