Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Platform Sama-Sama Lokal bantu Ekonomi Tempatan

Isi Kandungan

Platform Terbaru Sama-Sama Lokal

KETIDAKTENTUAN ekonomi sejak gelombang pandemik Covid-19 mengakibatkan banyak sektor pekerjaan dan perniagaan terkesan.

Peniaga kecil dan sederhana (PKS), peladang serta peniaga tempatan antara terjejas dan tidak dapat melaksanakan pergerakan aktiviti ekonomi secara langsung.

Oleh itu, pada pertengahan April tahun lalu, Maybank melancarkan platform dalam taliannya untuk membantu penjaja tempatan yang menghadapi kesukaran sewaktu perintah kawalan pergerakan (PKP).

Platform “Sama-Sama Lokal” dibangunkan dengan matlamat membantu perniagaan kecil masuk ke dalam talian apabila mereka tidak dapat beroperasi dari kedai fizikal akibat pandemik Covid-19 dan PKP.

Selain turut membantu memberikan pendedahan kepada peniaga tempatan terutama mereka yang kurang memahami mengenai teknologi.

Melalui platform Sama-Sama Lokal, peniaga kecil disenaraikan di laman web bank untuk memberikan peluang kepada mereka memperluaskan perniagaan.

Menariknya, melalui platform ini, Sama-Sama Lokal memberi subsidi bagi kos upah untuk semua pesanan ke luar kawasan bagi semua peniaga berdaftar yang tidak menawarkan perkhidmatan penghantaran.

lokal

Bagi peniaga, mereka tidak akan dikenakan komisen atau sebarang yuran persediaan  membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) atau perniagaan mikro mendapat keuntungan sepenuhnya daripada jualan mereka.

Selain itu, Maybank turut bertanggungjawab ke atas mekanisme penghantaran, mengurangkan keperluan serta kebimbangan peniaga dengan integrasi penyampaian.

Berikutan musim Harumanis di Perlis dijangka bermula pada akhir bulan April hingga pertengahan Jun ini, Maybank bekerjasama dengan Jabatan Pertanian Perlis dan Kelompok Harumanis Tanah Pasir untuk memasarkan mangga Harumanis dari Perlis ke Semenanjung Malaysia.

Disebabkan sekatan pergerakan rentas negeri dilaksanakan, ini membuatkan pelanggan tidak boleh ke Perlis untuk mendapatkan mangga Harumanis dengan sendiri.

Namun orang ramai tidak perlu risau kerana, melalui platform Sama-Sama Lokal, ia akan membantu menghubungkan dengan lebih ramai peminat mangga di seluruh negara.

lokal

Bagi setiap pesanan yang dibuat melalui platform Sama-Sama Lokal, setiap pelanggan berpeluang mendapat penghantaran percuma ke seluruh Malaysia Barat.

Selain itu, biasanya harga pasaran mangga Harumanis dijual pada RM35 satu kilogram (kg).

Namun eksklusif buat pelanggan yang berbelanja RM30 ke atas berpeluang merebut promosi sebanyak 50 peratus (terhad kepada RM30) diberikan bagi setiap pembelian tiga kilogram buah mangga Harumanis.

Pelanggan boleh mendapatkan penjimatan sebanyak RM30 apabila harga asal bagi tiga kilogram mangga ialah RM100 dengan penghantaran percuma ke seluruh Semenanjung Malaysia.

Selain itu, pelanggan yang berminat boleh membuat prapesanan dari Isnin sehingga Jumaat dan boleh diakses melalui Aplikasi M2U dan setiap pesanan dihantar pada minggu berikutnya dari Isnin sehingga Rabu.

Kempen Harumanis ini bermula pada 26 April sehingga 13 Jun 2021 dan pengguna boleh menggunakan kod promosi 50RAYA sewaktu membuat pembayaran bagi promosi tambahan.

Pesan guna aplikasi Maybank2U

lokal

Platform ini mirip seperti aplikasi servis penghantaran makanan dalam talian yang lain.

Namun menariknya dengan platform Sama-Sama Lokal ini, urusan membuat tempahan serta pembayaran bertambah mudah kerana setiap proses dilakukan di dalam aplikasi Maybank2u (M2U).

Pengguna hanya perlu log masuk ke dalam aplikasi M2U untuk mengakses platform Sama-Sama Lokal ini.

Seterusnya, pilih pautan platform Sama-Sama Lokal di bahagian menu dan pengguna boleh membuat pilihan untuk membeli buah mangga Harumanis di dalam aplikasi ini tanpa perlu  risau mengenai caj tambahan.

Untuk maklumat lanjut bagi membuat tempahan, pelanggan boleh layari panduan di laman web Maybank di web halaman promosi, atau pautan kategori bagi platform Sama-Sama Lokal.

Sumber Harian Metro

Artikel lain: Pendaftaran Platform WarongkuAplikasi Odajer.com Sebagai Platform Jualan Kelantan

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More