Program Khas Lepasan SPM Dalam Negara Tahun 2025

Berikut adalah info terkini mengenai Program Khas Lepasan SPM Dalam Negara (LSPM) Tahun 2025 Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Isi Kandungan
Permohonan Program Khas Lepasan SPM Dalam Negara Tahun 2025
Program Khas Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Dalam Negara (LSPM) Tahun 2025 merupakan penajaan kepada pelajar terbaik lepasan SPM 2024 untuk melanjutkan pelajaran di dalam negara.
Penajaan program ini adalah dalam bentuk Pinjaman Boleh Ubah (PBU) Berasaskan Merit Akademik memperuntukkan kemudahan pengecualian / pengurangan bayaran balik pinjaman berdasarkan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) akhir dan / atau dilantik dalam Sektor Awam setaraf dengan kelayakan.
Permohonan adalah dipelawa kepada pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang mendapat keputusan sekurang-kurangnya 9A+ untuk melanjutkan pelajaran di dalam negara. Senarai nama calon LSPM 2025 DISINI.
Calon-calon akan ditawarkan penajaan secara berpakej bagi pengajian peringkat Persediaan sehingga peringkat Ijazah Pertama tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan.

Senarai Program Persediaan
Berikut adalah senarai program persediaan yang ditawarkan di bawah Program Khas Lepasan SPM Dalam Negara 2025, iaitu:
- Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).
- Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
- Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).
- Asasi Universiti Awam (UA).
- Program ASASIpintar, Pusat PERMATApintar Negara.
- Foundation IPTS.
Syarat Kelayakan Permohonan
Sebelum mengisi permohonan, calon-calon mestilah memenuhi syarat-syarat umum permohonan bagi Program Khas Lepasan SPM Dalam Negara 2025 seperti di bawah:
- Warganegara Malaysia.
- Pemohon disyaratkan bebas daripada penyakit kronik / berjangkit / penyakit yang memerlukan rawatan susulan dan berupaya mengikuti pengajian sehingga tamat, serta disahkan sihat untuk meneruskan pengajian.
- Ibu dan / atau bapa dan / atau pemohon tidak disenarai hitam oleh JPA atau sedang dalam tindakan undang-undang oleh JPA.
- Sekiranya berjaya ditawarkan penajaan JPA, pemohon tidak dibenarkan menerima bantuan kewangan / tajaan daripada mana-mana agensi untuk peringkat atau pengajian yang sama.
- Menduduki peperiksaan SPM 2024 buat kali pertama di mana-mana sekolah menengah atau calon-calon persendirian.
- Umur belum mencapai 19 tahun (atau belum mencapai 20 tahun bagi pelajar peralihan) pada 31 Disember tahun peperiksaan SPM diduduki.
- Keutamaan diberikan kepada calon daripada latar belakang keluarga dengan kategori pendapatan B40 dan M40.
Selain itu, calon juga mestilah memenuhi syarat-syarat khusus permohonan bagi Program Khas Lepasan SPM Dalam Negara 2025 seperti berikut:
- Pelajar hendaklah mendapat keputusan SPM sekurang-kurangnya 9A+ dalam mana-mana mata pelajaran tanpa mengambil kira mata pelajaran selebihnya (sekiranya ada).
- Memulakan pengajian peringkat Persediaan sebelum 31 Disember tahun penawaran biasa.
- Bagi Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), hanya terbuka kepada pelajar selain pegawai kadet.
Cara Membuat Permohonan
Permohonan bagi Program Khas Lepasan SPM Dalam Negara 2025 kini dibuka secara dalam talian pada eProfiling Jabatan Perkhidmatan Awam bermula 30 April 2025 (10.00 Pagi) hingga 11 Mei 2025 (5.00 Petang).
Calon diwajibkan mengambil dan melengkapkan Ujian Khas Penajaan Persekutuan (UKPP) melalui Sistem ePermohonan. Calon yang tidak menduduki ujian ini adalah dikira gagal dan tidak layak ditawarkan penajaan.
Calon yang memohon akan disenarai pendek dan dipanggil untuk menghadiri SAC. SAC diadakan bertujuan bagi menyediakan profil interpersonal pelajar dan menyediakan maklumat kumulatif berkenaan kompetensi pelajar bagi memilih pelajar terbaik untuk ditaja JPA.
Tarikh-Tarikh Penting
Berikut adalah tarikh-tarikh penting mengenai permohonan bagi Program Khas Lepasan SPM Dalam Negara 2025, iaitu:
Aktiviti | Tarikh / Hari / Masa |
---|---|
Permohonan Dibuka | 30 April 2025 (Rabu) | 10.00 Pagi |
Permohonan Ditutup | 11 Mei 2025 (Ahad) | 5.00 Petang |
Pengisian UKPP | 30 April 2025 (Rabu) | 10.00 Pagi – 11 Mei 2025 (Ahad) | 5.00 Petang |
Semakan Panggilan SAC | 2 Jun 2025 (Isnin) | 9.00 Pagi – 5 Jun 2025 (Khamis) | 4.00 Petang |
Tempoh SAC | 10 Jun 2025 (Selasa) – 12 Jun 2025 (Khamis) |
Jangkaan Keputusan | Minggu Kedua Julai 2025 |
Maklumat Lanjut
Sebarang pertanyaan berkaitan bagi Program Khas Lepasan SPM Dalam Negara ini boleh dibuat dengan menghubungi talian 03 – 8885 3297 pada setiap hari bekerja mulai jam 9.00 pagi hingga jam 4.30 petang atau e-melkan kepada [email protected] (talian dan e-mel ini hanya aktif dalam tempoh permohonan dibuka sahaja).
Seterusnya, anda juga boleh dapatkan info-info terkini di TcerDotMy kerana kami sentiasa menyediakan segala info yang tepat dan sahih untuk anda.
Diharapkan info ini bermanfaat untuk anda semua di luar sana!