Sumber Rujukan Globalisasi Anda

SKIPP 2022: Skim Bantuan Peralatan Perniagaan

Skim Bantuan Peralatan Perniagaan bagi tahun 2022 (SKIPP 2022) adalah satu bentuk program oleh Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) dan permohonan telah dibuka sehingga 15 Mac 2022.

SKIPP 2022: Skim Bantuan Peralatan Perniagaan

Isi Kandungan

Apakah SKIPP 2022?

Skim Bantuan Peralatan Perniagaan 2022 (SKIPP 2022) adalah satu bentuk program meningkatkan pendapatan golongan sasaran yang selari dengan penubuhan Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT). YPKDT telah ditubuhkan pada 10 Oktober 1997 dan mempunyai tujuan jelas dalam mewujudkan masyarakat harmoni, bahagia, sejahtera dan penyayang.

Satu daripada objektif yayasan ini ketika ditubuhkan adalah untuk membawa golongan wanita umumnya untuk menghadapi arus pembangunan yang pesat. Seiring dengan objektif tersebut, YPKDT telah mendapat ilham untuk mewujudkan Program Menjana Pendapatan yang mempunyai tujuan utama dalam meningkatkan mutu dan kualiti hidup golongan wanita bagi memastikan institusi keluarga yang harmoni dapat terbentuk dalam masyarakat.

Program SKIPP ini menekankan usaha dalam meningkatkan pendapatan golongan sasaran iaitu ibu tunggal dan wanita berpendapatan rendah. Perkara ini dapat dilaksanakan melalui Skim Bantuan Peralatan yang dikhususkan buat mereka yang mempunyai potensi dalam memulakan perniagaan secara kecil-kecilan, dan juga memberi bantuan pengembangan perniagaan kepada golongan wanita yang sudah mempunyai produk sendiri dengan membekalkan kepada mereka peralatan yang mereka perlukan.

Objektif SKIPP 2022

Antara objektif yang menjadi tunjang program SKIPP ini adalah:

  1. Memberi peluang kepada golongan sasaran menjana pendapatan dari rumah (Home-Based Income Generating) tanpa mereka perlu keluar rumah meninggalkan anak-anak.
  2. Melahirkan wanita (ibu tunggal dan wanita berpendapatan rendah) yang mempunyai potensi dan kualiti sebagai satu ejen perubahan dalam sesebuah institusi keluarga.
  3. Membantu peniaga/usahawan kecil wanita dalam mengembangkan perniagaan mereka melalui program menjana pendapatan.
  4. Memupuk semangat juang yang tinggi serta meningkatkan motivasi di antara golongan sasaran (ibu tunggal dan wanita berpendapatan rendah) supaya mereka dapat menjadi lebih berdaya saing dan berdikari mengharungi peningkatan kos sara hidup dari semasa ke semasa.

Strategi Pelaksanaan SKIPP 2022

Program SKIPP 2022, sama seperti tahun sebelumnya, mempunyai kaedah atau strategi jelas dalam memastikan program ini dilaksanakan dengan jayanya:

  1. Skim Bantuan Peralatan Perniagaan (SKIPP 2022) ini akan disalurkan kepada pemohon yang layak setelah sesi lawatan ke premis perniagaan / kediaman pemohon selesai, dan satu Mesyuarat Jawatankuasa Pemberian Barangan Peralatan YPKDT dijalankan bagi membuat kata putus berkenaan kelayakan pemohon-pemohon.
  2. Bantuan peralatan yang disalurkan datang dalam pelbagai bentuk peralatan yang boleh digunakan untuk memulakan perniagaan dan mengembangkan lagi perniagaan sedia ada dalam usaha mereka untuk menjana pendapatan dan meningkatkan ekonomi keluarga seperti mesin pembuat roti dan kek, mesin ketuhar (oven) dan ketuhar gelombang mikro (microwave), mesin jahit dan pelbagai lagi.
  3. SKIPP 2022 ini juga adalah inisiatif susulan kepada golongan sasaran (ibu tunggal dan wanita berpendapatan rendah) yang telah mendaftar serta mengikuti pelbagai program / kursus / bengkel kemahiran yang dianjurkan pihak YPKDT di bawah Unit Wanita dan NGO. Program-program tersebut merangkumi kursus jahitan, masakan, seni kraftangan, horticulture, urutan refleksologi, penjagaan selepas bersalin, seminar dan motivasi diri, asas pengurusan kewangan, dan pelbagai lagi jenis.
  4. Penerima yang telah menerima bantuan peralatan akan dipantau perkembangan mereka dalam projek menjana pendapatan, dan akan dibantu dari segi peningkatan kemahiran dan ilmu keusahawanan. Mereka akan dippantau di bawah Projek Usahawan Suri di YPKDT dalam mempromosi produk dan perkhidmatan yang diusahakan.

Kumpulan Sasar Untuk Program

Kategori yang layak bagi program SKIPP ini adalah seperti berikut:

  1. Ibu tunggal dan wanita dari golongan B40 berumur 18 sehingga 65 tahun.
  2. Belia B40 (lelaki dan wanita) berumur 18 sehingga 40 tahun.
  3. Orang Kurang Upaya (lelaki dan wanita) berumur 18 sehingga 60 tahun.

Syarat Kelayakan SKIPP 2022

Antara syarat-syarat lain yang melayakkan anda untuk memohon program ini adalah:

  1. Warganegara Malaysia
  2. Kelahiran Negeri Johor / Bermastautin di Negeri Johor melebihi 5 tahun.
  3. Bagi Kategori 1, anda perlu mempunyai Surat Pengesahan Ibu Tunggal/ Sijil Kematian Suami/ Sijil Penceraian.
  4. Bagi Kategori 3 pula, anda perlu mengemukakan Mempunyai Sijil Pendaftaran OKU/ Kad OKU di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
  5. Mempunyai pendapatan bulanan bagi kategori B40 iaitu tidak melebih RM4,850.00 sebulan.
  6. Pemohon masih aktif dan mampu bekerja dan mengembangkan perniagaan.
  7. Telah menjalankan sebarang aktiviti perniagaan di rumah (home-based business) atau mempunyai premis perniagaan sendiri.
  8. Keutamaan diberikan kepada pemohon yang telah atau pernah mengikuti program / kursus anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT).
  9. Pertimbangan akan diberikan kepada pemohon yang belum atau tidak pernah mengikuti program / kursus anjuran YPKDT berpandukan beberapa terma dan syarat.
  10. Telah mendaftar sebagai golongan sasar (ibu tunggal, wanita, belia dan OKU B40) di bawah SMART (Sistem Maklumat Golongan Sasar) YPKDT menggunakan borang SMART.

Cara Memohon SKIPP 2022

Untuk memohon program ini, anda boleh ikuti langkah berikut:

  1. Muat turun dan isi Borang SMART YPKDT (Borang Maklumat Golongan Sasar)  DI SINI.
  2. Lengkapkan Borang SMART beserta lampiran salinan dokumen yang telah disahkan dan hantar
    kepada Pejabat YPKDT yang berdekatan.
  3. Tarikh tutup permohonan adalah pada 15 Mac 2022 (Selasa).
  4. Permohonan yang LULUS akan dihubungi dalam tempoh 2 bulan. Sekiranya pemohon tidak menerima makluman dalam tempoh 2 bulan, permohonan anda TIDAK BERJAYA.

Senarai Salinan Dokumen Sah Perlu Dikepilkan

Berikut merupakan senarai salinan dokumen yang perlu dikepilkan bersama dengan Borang SMART yang akan dihantar:

  1. Salinan Kad Pengenalan / MyKad
  2. Sekeping gambar berukuran pasport
  3. Surat Pengesahan Ibu Tunggal / Sijil Kematian Suami / Sijil Penceraian (Ibu Tunggal)
  4. Salinan Kad Pendaftaran Orang Kurang Upaya (OKU) / Kad OKU di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.
  5. Salinan Sijil Pendaftaran Perniagaan SSM (jika ada)
  6. Salinan Slip Gaji terkini (Jika masih bekerja beserta cop pengesahan majikan)
  7. Pengesahan Pendapatan Bulanan Oleh Penghulu/Ketua Masyarakat/ Pegawai Daerah/ Ketua Jabatan atau mana-mana Pegawai Kerajaan @ Golongan Profesional ( sekiranya tiada slip gaji)
  8. Beberapa keping gambar produk, premis atau kedai dan perniagaan sedia ada.

Maklumat Lanjut

Untuk sebarang maklumat lanjut, anda boleh layari laman web YPKDT atau hadir ke Pejabat YPKDT terdekat.

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More