Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Solat Aidilfitri bergilir tak dilaksanakan, Zulkfili beri penjelasan

SHAH ALAM – Pelaksanaan solat sunat Aidilfitri secara bergilir-gilir mengikut jadual tidak dapat dilaksanakan di dalam negara kerana penemuan beberapa varian baharu Covid-19 yang boleh menyebabkan penularan yang lebih pantas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Selain itu, beliau berkata, bilangan masjid dan surau yang tinggi di negara berbanding negara jiran seperti Singapura juga menyukarkan kerajaan untuk memantau dan seterusnya melaksanakan langkah tersebut.

“Seperti yang kita sedia maklum, peningkatan kes positif Covid-19 di negara kita begitu ketara pada masa kini. Ini berikutan penemuan varian-varian baharu Covid-19 yang menyebabkan kadar kebolehjangkitan dan virus merebak dengan lebih cepat.

“Ini boleh berlaku lebih-lebih lagi sekiranya kita lebih terdedah dengan perkumpulan yang ramai. Perkara seperti ini tidak berlaku di negara jiran kita dan situasi di negara jiran tidak sama.

Infografik soal jawab SOP Hari Raya Aidilfitiri pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang dikongsikan di Twitter Zulkifli pada Rabu.

“Jumlah masjid dan surau yang tinggi di negara kita berbanding negara jiran turut menyukarkan pihak berkuasa untuk memantau dan mengawal pematuhan prosedur operasi standard (SOP),” katanya menerusi satu kenyataan dalam infografik mengenai SOP Hari Raya Aidilfitri yang dikongsikan di Twitternya pada Rabu.

Zulkifili menambah, situasi negara yang kini berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga pastinya meletakkan negara dalam keadaan yang tentunya berbeza dengan negara jiran yang lain.

Menurutnya, matlamat utama kerajaan adalah untuk meminimumkan sebarang bentuk perkumpulan dan perhimpunan ramai yang didapati berpotensi memberi risiko kepada masjid.

“Masjid dan surau perlu kekal sebagai tempat yang paling patuh SOP dan menjadi contoh kepada yang lain. Itulah semangat mufti negeri-negeri setiap kali memutuskan SOP berkaitan ibadah umat Islam,” ujarnya.

Sumber Sinar Harian

Artikel lain : Solat Aidilfitri, fardu dan Jumaat hanya 50 jemaah, ikut SOP: MAIK

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More