Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Solat Jamak Masa Balik Kampung Tidak Lebih 3 Hari; Boleh Ke?

Solat jamak adalah solat yang menghimpunkan dua solat fardhu ke dalam satu waktu solat. Solat yang boleh dijamakkan ialah:

  • Zohor dengan Asar dan
  • Maghrib dengan Isyak.

Menjadi persoalan apabila musim cuti sekolah ini kita balik ke kampung dan adakah dibolehkan untuk jamak jika berada di kampung tidak melebihi tiga hari?

Isi Kandungan

Jenis dan syarat sah solat jamak

Sebelum pergi lanjut kepada menjawab soalan, apa kata kita belajar dahulu berkenaan solat jamak itu sendiri. Solat Jamak terbahagi kepada 2 bahagian iaitu :

  1. Jamak Takdim : Solat Fardhu Zohor dihimpunkan bersama Solat Fardhu Asar dalam waktu Zohor. Solat Fardhu Maghrib dihimpunkan bersama Solat Fardhu Isyak dalam waktu Maghrib.
  2. Jamak Ta’khir : Solat Fardhu Zohor dihimpunkan bersama Solat Fardhu Asar dalam waktu Asar. Solat Fardhu Maghrib dihimpunkan bersama Solat Fardhu Isyak dalam waktu Isyak.

Manakala syarat sah bagi jamak takdim dan ta;khir pula adalah seperti berikut:

  • Syarat Sah Jamak Takdim
  1. Hendaklah dikerjakan dengan tertib iaitu mendahulukan solat fardhu yang pertama diikuti solat fardhu yang kedua. Contohnya, solat Fardhu Maghrib kemudian diikuti dengan solat Fardhu Isyak.
  2. Berniat menjamakkan solat ketika mengerjakan solat fardhu yang pertama.
  3. Mengerjakan kedua-dua solat secara berturut-turut tanpa diselangi dengan solat sunat atau lain-lain perbuatan kecuali mengambil wuduk.
  • Syarat Sah Jamak Ta’khir
  1. Berniat dalam waktu solat fardhu yang pertama untuk menangguhkan solat fardhu yang pertama tersebut ke dalam solat fardhu waktu kedua.
  2. Masih bermusafir sehingga selesai kedua-dua solat.
  3. Nota tambahan: Mengerjakan Jamak Ta’khir tidak perlu mendahulukan solat fardhu yang pertama, iaitu boleh mengerjakan solat fardhu kedua terlebih dahulu.
  4. Jarak antara dua solat fardhu dalam Jamak Ta’khir tidak semestinya berturut-turut, iaitu boleh diselangi dengan masa yang panjang.
  5. Para musafir yang tidak mengetahui syarat sah solat jamak ini hendaklah mengerjakan solat pada setiap waktu solat fardhu tersebut.
solat jamak
Solat Jamak Masa Balik Kampung Tidak Lebih 3 Hari; Boleh Ke? 3

Bolehkah Solat Jamak Waktu Balik Kampung?

Menurut Dr Zulkifli Al bakri seperti yang dikongsikan beliau di laman website rasmi Maktabah AlBakri, ada orang awam yang pernah bertanyakan soalan itu terhadap beliau. Soalan tersebut berbunyi begini:

“Assalamualaikum ss Dr, berkenaan bermukim, alamat menetap dan bekerja adalah di Selangor, jika saya balik ke kampung halaman (Johor), adakah rumah saya di kampung halaman dikira mukim? Boleh ke saya solat jamak qasar semasa di kampung halaman saya? (Balik kampung tidak lebih 3 hari)”

Jawapan beliau pula adalah seperti berikut:

Solat qasar dan jamak adalah merupakan rukhsah yang diberikan oleh Allah SWT. Ia merupakan kemudahan yang dianugerahkan kepada umat Islam agar mereka boleh menunaikan ibadat solat di mana sahaja mereka berada. Perkara ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam firmannya:

Maksudnya: “Dan jika kamu bermusafir di muka bumi ini, maka tidak berdosa ke atas kamu untuk memendekkan solat (solat empat rakaat dijadikan kepada dua rakaat).”(Surah An-Nisa ayat 101)

eliau lanjutkan jawapan dengan perbahasan dari Imam Nawawi iaitu Imam al-Nawawi berkata: “Ayat ini mengaitkan hukum qasar dengan al-dorb `ala al-ardh (permusafiran). Justeru, jika seseorang ialah penduduk suatu kota maka dia boleh qasar apabila dia berpisah daripada bangunan yang dinisbah kepada kota tersebut.” (Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab.

Ayat di atas menjelaskan bahawa rukhsah iaitu kemudahan dan keringanan yang diberikan oleh Allah SWT kepada hambanya yang bermusafir. Keringanan (rukhsah) ini merupakan pemberian daripada Allah SWT kepada hambaNya, maka hendaklah kita menerimanya.

Jawapan kepada soalan

Berdasarkan persoalan di atas, Dr Zulkifli katakan bahawa alamat menetap dan bekerja si penanya adalah di Selangor adalah tempat permukimannya. Dan si penanya tidak boleh menjamak dan menqasarkan solat.

Tetapi sekiranya dia balik ke kampung halaman di Johor, maka rumahnya di kampung halaman tidak dikira sebagai tempat pemukiman kerana dia hanya menjadikannya sebagai tempat persinggahan sahaja yang tidak melebihi tiga hari, bukannya tempat tinggal secara tetap dalam tempoh yang lama. Maka dalam hal ini, si penanya boleh solat secara jamak dan qasar semasa dia di kampung halaman. Hal ini sekiranya rumah di kampung halamannya itu merupakan rumah ibu atau bapa.

Namun begitu, jika sekiranya rumah di kampung itu merupakan milik si penanya, maka dia telah masuk dalam kategori Sahib al-Baladain iaitu orang yang memiliki dua tempat tinggal yang berbeza. Justeru, dia hanya berhak solat jamak dan qasar hanya ketika dalam perjalanan sahaja.

solat jamak
Solat Jamak Masa Balik Kampung Tidak Lebih 3 Hari; Boleh Ke? 4

Penutup

Justeru, diharap penjelasan ini memberi manfaat kepada semua. Tidak kira di mana dan dalam apa jua keadaan, semoga kita semua menjadi hambaNya yang mendirikan solat. Mari sama-sama kita aminkan doa ini:

“Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Semakin kita menghampiri Ramadan, ayuh kita semua perbaiki solat dan diri ke arah yang lebih baik. Jika masih belum mengganti puasa, segeralah ganti kerana masanya tinggal tidak banyak lagi. Jika ini tahu lanjut berkenaan puasa ganti, boleh rujuk Niat Puasa Ganti.

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More