Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Surah Al-Ikhlas: 4 Fadilat Besar Amalkan Dalam Kehidupan Harian

Surah Al-Ikhlas adalah merupakan penyataan ringkas berkaitan tauhid, iaitu keesaan mutlak Allah yang terdiri daripada 4 ayat.

Isi Kandungan

Tuntutan Surah Al-Ikhlas

Dinamakan surah Al-Ikhlas (Tauhid yang sebersih-bersihnya), kerana dalam keseluruhannya surah ini, Allah Ta’ala perintahkan junjungan kita Nabi Muhammad SAW supaya menegaskan kepada umum bahawa Allah Ta’ala Maha Esa dan tidak ada bandinganNya.

Surah ini diturunkan di Mekah dan mengandungi 4 ayat.

قُلْ هُوَ ٱللَّهُ أَحَدٌ ١

Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa”.

ٱللَّهُ ٱلصَّمَدُ ٢

“Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat”.

لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ ٣

“Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan”.

وَلَمْ يَكُن لَّهُۥ كُفُوًا أَحَدٌۢ ٤

“Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya”.
Surah Al-Ikhlas: 4 Fadilat Besar Amalkan Dalam Kehidupan Harian 1

Kelebihan Amalan Surah Al-Ikhlas

Terdapat banyak fadilat yang sahih berkenaan amalan surah Al-Ikhlas, antaranya adalah seperti berikut.

Allah SWT Mencintai Orang Yang Mencintai Surah Al-Ikhlas

Daripada Aisyah RA:

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW mengutus seseorang kepada sekelompok pasukan, dan ketika orang itu mengimami sahabat-sahabatnya yang lainnya di dalam solat mereka dan beliau mengakhiri bacaannya dengan قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ, maka apabila mereka pulang, mereka menceritakan hal itu kepada Rasulullah SAW, lalu Baginda pun bersabda: “Tanyalah beliau, mengapa beliau berbuat demikian?” Lalu mereka bertanya kepadanya. Beliau pun menjawab: “Kerana surat ini (mengandung) sifat al-Rahman, dan aku mencintai membaca surah ini,” lalu Nabi SAW bersabda: “Beritahu beliau, sesungguhnya Allah pun mencintainya”.

Hadis riwayat Imam al-Bukhari (7375)

Surah Al-Ikhlas Bersamaan Sepertiga Al-Quran

Daripada Abu Sa`id al-Khudri RA:

Maksudnya: “Sesungguhnya seseorang mendengar orang lain membaca قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ dengan berulang kali, lalu dia datang bertemu Rasulullah SAW dan menceritakan hal itu kepadanya, dan seolah-olah orang itu menganggap remeh surah itu, maka bersabdalah Rasulullah SAW : “Demi Dzat yang jiwaku berada di tanganNya, sesungguhnya surat itu sebanding dengan sepertiga Al-Qur`an”.

Hadis riwayat Imam al-Bukhari (5013)

Surah Al-Ikhlas Penyebab Masuk Syurga

Daripada Abu Hurairah RA:

Maksudnya: “Aku datang bersama Rasulullah SAW lalu aku dengar seorang lelaki membaca قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ اللَّهُ الصَّمَدُ. Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Telah wajib.” Aku bertanya: “Apa yang telah menjadi wajib?”. Kata Baginda: “Syurga (baginya).”

Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunan (2897). Beliau berkata: “Hadis hasan sahih gharib”.

Menjadi Perlindungan Dengan Izin Allah SWT, Jika Dibaca Bersama Surah Al-Alaq & Surah Al-Nas

Daripada `Uqbah bin `Amir al-Juhani RA:

Maksudnya: Ketika mana aku memimpin kenderaan Rasulullah SAW dalam sebuah peperangan, tiba-tiba Baginda bersabda: “Wahai Uqbah, katakanlah,” Aku pun mendengarkan, kemudian beliau berkata (lagi): “Wahai Uqbah, katakanlah,” Aku pun mendengarkan. Dan Baginda mengatakannya sampai tiga kali, lalu aku bertanya: “Apa yang perlu aku katakan?” Baginda pun bersabda: “Katakan قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ”, lalu Baginda membacanya sampai selesai. Kemudian Baginda membaca قُلْ أَعُوْذُ بِرَبِّ الفَلَقِ, aku pun membacanya bersamanya hingga selesai. Kemudian Baginda membaca قُلْ أَعُوْذُ بِرَبِّ النَّاسِ, aku pun membacanya bersamanya hingga selesai. Kemudian Baginda bersabda: “Tidak ada seorang pun yang berlindung (dari segala keburukan) seperti orang orang yang berlindung dengannya (tiga surat) tersebut”.

Hadis riwayat Imam al-Nasaie (5430)

Daripada Aisyah RA:

Maksudnya: Bahawa Nabi SAW apabila menuju ke pembaringannya (untuk tidur) setiap malam, Baginda akan menghimpunkan kedua tangannya (yakni menadah tangan) dan meniupnya setelah Baginda membaca Surah al-Ikhlas, al-Falaq, dan al-Nas, kemudian menyapu kedua-dua tapak tangannya pada tempat yang mampu dicapai olehnya dari setiap tubuhnya, dimulakan dari kepala, muka, dan apa yang boleh ditemui daripada badannya, sebanyak tiga kali.

Hadis riwayat Imam al-Bukhari (5017)

Daripada Buraidah bin al-Hasib RA:

Maksudnya: Bahawa Rasulullah SAW mendengar seorang lelaki berdoa: “Ya Allah, sesungguhnya aku meminta kepada-Mu, bahwa diriku bersaksi sesungguhnya Engkau adalah Allah yang tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau Yang Maha Esa, Yang bergantung kepada-Mu segala sesuatu, Yang tidak beranak dan tidak pula diperanakkan, dan tidak ada seorang pun yang setara dengan-Nya,” kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Sungguh dirimu telah meminta kepada Allah dengan nama-Nya, yang jika Dia diminta dengannya (pasti akan) memberi, dan jika Dia diseru dengannya, (pasti akan) mengabulkannya”.

Hadis riwayat Abu Daud (1493)

Surah Al-Ikhlas Boleh Dijadikan Satu Amalan Mengejar Malam Lailatul Qadar

Salah satu amalan untuk mengejar malam Lailatul Qadar pada bulan Ramadan adalah membaca surah Al-Ikhlas dengan dijadikan rutin setiap malam pada 10 malam terakhir.

Membaca surah Al-Ikhlas paling kurang 3 kali setiap malam, jika jatuh pada malam Lailatul Qadar, bermakna seolah-olah kita telah mengkhatamkan Al-Quran selama 84 tahun.

Surah Al-Ikhlas: 4 Fadilat Besar Amalkan Dalam Kehidupan Harian 2

Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk anda semua di luar sana!

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More