Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Terkini! Rentas Negeri Dibenarkan Mulai 11 Oktober

Terkini! Rentas Negeri Dibenarkan Mulai 11 Oktober 2021, seperti diumumkan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebentar tadi.

Rentas Negeri Dibenarkan
Foto dari laman Facebook Astro Awani

Kebenaran Rentas Negeri Mulai 11 Oktober 2021

rentas negeri dibenarkan

Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob telah membuat pengumuman sebentar tadi (Ahad, 10 Oktober 2021) mengenai kebenaran untuk merentas negeri bermula dari 11 Oktober 2021, tanpa kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pihak kerajaan telah bersetuju untuk memberi kebenaran ini setelah pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) telah pun mencapai kadar 90 peratus.

Kebenaran rentas negeri buat Keluarga Malaysia ini adalah khusus buat mereka yang telah pun menerima vaksinasi lengkap, dan tanpa perlu memohon kebenaran daripada pihak PDRM bermula esok, Isnin, 11 Oktober 2021.

Maklumat Penting Untuk Rentas Negeri

Perdana Menteri turut menggariskan beberapa perkara penting untuk maklumat semua yang ingin merentas negeri untuk apa jua tujuan:

  1. Sebelum melakukan perjalanan merentas negeri, anda disarankan untuk melakukan ujian COVID-19 kendiri.
  2. Bagi mereka yang bergejala seperti demam, batuk, selsema dan sesak nafas, dinasihatkan untuk tangguh perjalanan. Anda boleh juga semak senarai simptom COVID-19, dan pastikan anda tidak bergejala sebelum membuat perjalanan.
  3. Jika anda didapati positif, kuarantin diri atau hubungi Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) yang berhampiran untuk mendapatkan rawatan segera.
  4. Tiada lagi Sekatan Jalan Raya (SJR) mengawal pergerakan rentas negeri
  5. Pemeriksaan secara rawak akan tetap dilakukan oleh pihak berkuasa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
  6. Kawasan / lokaliti yang diisytiharkan menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) adalah TIDAK DIBENARKAN untuk merentas negeri.

MyTravelPass

Kerajaan juga bersetuju bagi memberi kebenaran untuk rakyat Malaysia membuat perjalanan ke luar negara tanpa melalui MyTravelPass Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berkuatkuasa pada 11 Oktober 2021. Namun begitu, pengembara masih perlu menjalani KUARANTIN WAJIB sebaik sahaja pulang ke tanah air.

Keputusan ini dibuat bagi memberi peluang kepada ahli keluarga dan pasangan yang terpisah, rakyat Malaysia yang perlu ke luar negara untuk tujuan kerja, mahupun menjalankan urusan perniagaan. Kebenaran adalah tertakluk kepada individu yang lengkap divaksin.

Patuhi SOP, Elak Jangkitan COVID-19

Rentas Negeri Dibenarkan

Perdana Menteri bagaimanapun ingin mengingatkan semua agar tidak bersikap sambil lewa terhadap kelonggaran yang telah diberikan, dan sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 walau di mana anda berada. Ianya bagi mengelakkan peningkatan semula penularan wabak COVID-19.

Ini amat penting dalam usaha membantu negara dalam pembukaan semula ekonomi serta persediaan menjalani kehidupan fasa endemik dengan selamat (#ReopeningSafely). Semua kita rakyat Malaysia kini adalah barisan hadapan yang bakal melindungi keluarga dan komuniti daripada jangkitan virus COVID-19.

Proses Peralihan Ke Fasa Endemik

Bagi memastikan peralihan negara kita ke fasa endemik berjalan lancar, rakyat perlu melakukan beberapa langkah tindakan bagi kesihatan awam kendiri yang dipanggil TRIIS, iaitu:

  • TEST : Melakukan ujian pengesanan COVID-19 secara kendiri sekiranya mengalami simptom jangkitan
  • REPORT : Melaporkan keputusan ujian pengesanan secepat mungkin di aplikasi MySejahtera
  • ISOLATE : Melakukan kuarantin atau pengasingan kendiri dengan segera dan penuh disiplin sekiranya didapati positif
  • INFORM : Segera memaklumkan kontak rapat anda sekiranya anda didapati positif, dan laporkan juga semua kontak rapat melalui pautan di dalam MySejahtera. Beri makluman kepada CAC berhampiran juga sekiranya situasi kesihatan diri semakin merosot semasa menjalani kuarantin di rumah
  • SEEK : Mendapatkan rawatan segera di pusat-pusat perubatan atau CAC berhampiran sekiranya mengalami gejala berat. Dapatkan senarai CAC berhampiran anda di sini: Hotline COVID-19 Malaysia

Dengan kerjasama semua lapisan masyarakat Keluarga Malaysia, tanggungjawab bersama dapat kita jalankan dalam memastikan negara kita dapat beralih ke fasa endemik dengan selamat, dan ekonomi negara dapat dipulihkan. Walau pelbagai kelonggaran sudah diberikan, pastikan kita semua patuh pada SOP yang telah digariskan demi mengelakkan jangkitan wabak COVID-19. Semoga kita terus berganding bahu dalam menghadapi peperangan menentang virus COVID-19 ini.

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More