Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Tidak Perlu Hantar Borang Cukai Pendapatan Jika?

Tidak perlu hantar borang cukai pendapatan jika.. Jangan salah faham. Artikel ini bukanlah bermaksud kita tidak perlu menghantar borang cukai pendapatan. Jika gaji kasar anda lebih RM2,800 dan ada penolakan PCB (Potongan Cukai Bulanan) setiap bulan sila teruskan membaca.

Bermula tahun 2015, individu yang bekerja boleh memilih sama ada mahu menghantar borang cukai (e-filing) atau sebaliknya. Ini adalah hasil pengenalan konsep Potongan Cukai Berjadual (PCB) sebagai cukai pendapatan muktamad.

Dalam konteks PCB sebagai cukai muktamad, setiap pembayar cukai boleh melakukan pengiraan sendiri pada 31 Disember setiap tahun. Jika amaun dikira adalah tepat maka seseorang itu boleh memilih PCB sebagai cukai muktamad (dan tak perlu hantar e-filing).

Bahasa mudahnya, jika sudah dipotong PCB setiap bulan, kita boleh jika tidak menghantar borang cukai, asalkan memenuhi syarat.

Bagaimanapun, jika amaun PCB dipotong lebih rendah berbanding cukai dikira atau amaun PCB lebih tinggi, maka dinasihatkan supaya isi borang cukai seperti biasa.

Apa itu Potongan Cukai Bulanan Sebagai Cukai Muktamad (PCB Cukai Muktamad)?

PCB sebagai Cukai Muktamad membenarkan pembayar cukai yang layak untuk tidak mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN).

Siapa Yang Layak Untuk Tidak Menghantar Borang Nyata Cukai Pendapatan (Borang BNCP)?

Individu yang layak adalah:

1. Mempunyai satu punca pendapatan sahaja iaitu pendapatan penggajian di bawah seksyen 13 ACP 1967. Walau bagaimanapun sekiranya individu menerima pendapatan penggajian bersama manfaat berupa barangan atau nilai tempat kediaman, individu itu perlu kemukakan BNCP

Contoh : Jika bekerja makan gaji dan majikan beri kemudahan sebuah kereta untuk kegunaan adalah contoh manfaat berupa barangan (MBB). Maka anda tidak memenuhi kriteria PCB Cukai Muktamad.

Contoh : Jika bekerja makan gaji tetapi ada pendapatan lain seperti sewa atau komisen juga kira ada lebih satu punca pendapatan. Maka korang tak memenuhi kriteria PCB Cukai Muktamad.

2. PCB dipotong mengikut KKCP (Kaedah-Kaedah Cukai Pendapatan)

Maksudnya potong PCB mengikut jadual yang ditetapkan.

3. Berkhidmat selama 12 bulan dalam tahun taksiran dengan majikan yang sama

Contoh : Fattah bekerja dengan Syarikat Boniasara selama 12 bulan (Jan – Dec 2016). Dia kemudian bekerja dengan Syarikat Padinini (Jan 2017). Maka Fattah tergolong dalam kriteria berkerja dengan satu majikan dalam tempoh asas.

4. PCB tidak ditanggung oleh majikan dalam tahun taksiran tersebut; dan

5. Suami atau isteri tidak membuat pilihan untuk ditaksir bersama di bawah seksyen 45 ACP 1967

Menurut sumber yang dipercayai, susah nak jumpa suami isteri buat taksiran bersama zaman hipster ni atas banyak sebab. Jadi kalau buat taksiran berasingan memenuhi kriteria PCB Cukai Muktamad.

Adakah Pembayar Cukai Perlu Mengemukakan Borang BNCP Sekiranya Tidak Memenuhi Kriteria-kriteria PCB Cukai Muktamad?

Ya. Layanan ini tidak terpakai kepada pekerja berikut:

1. Bekerja dengan lebih daripada satu majikan;

2. Tempoh penggajian kurang daripada 12 bulan (Januari – Disember);

3. Cukai ditanggung oleh majikan;

4. Taksiran Bersama;

5. Mempunyai saraan Manfaat Berupa Barangan (MBB) dan Nilai Tempat Kediaman (NTK); atau

6. Pembayar cukai yang ingin menuntut bayaran balik atau menuntut pelepasan atau rebat.

Contohnya umat Islam yang membayar zakat perlu menghantar borang cukai bagi membolehkan bayaran zakat terbabit diambil kira dalam pengiraan cukai.

Mana Lebih Bagus? Hantar Borang atau Pilih PCB Cukai Muktamad?

Pilihan di tangan anda, secara logiknya hantar borang lebih bagus sebab macam-macam pelepasan boleh kita tuntut. Silap haribulan dapat lebihan baki cukai (refund) sebab terlebih bayar PCB.

Artikel lain : 8 Tips Pelaburan Saham | Peter Lynch

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More