Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Yang di-Pertuan Agong Beri Bantuan Bina Rumah

Yang di-Pertuan Agong bantu ibu tunggal mangsa banjir. Seorang ibu tunggal di Kampung Sungai Ganchong, Acheh di sini terharu menerima kurniaan bantuan bagi membina sebuah rumah baharu daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas rumahnya rosak akibat banjir yang melanda daerah ini bulan lalu.

Norhasnah Mat Yunos, 60, berkata, beliau bangga dan terkejut apabila dimaklumkan bahawa rumah yang akan dibina itu adalah hasil kurniaan bantuan daripada Yang di-Pertuan Agong.

“Makcik berasa bangga dan terkejut dengan kurniaan Tuanku, memang makcik tidak jangka ambil masa begitu cepat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Norhasnah, berkata beliau tidak pernah menyangka akan mendapat rumah diberikan secara percuma hasil kurniaan Yang di-Pertuan Agong.

“Makcik menjunjung kasih kepada Tuanku sebab buat rumah makcik dengan cepat. Memang makcik tidak pernah terfikir untuk dapat rumah setelah tinggal di sini sejak 40 tahun yang lalu.

“Terima kasih Yang di-Pertuan Agong. Saya mendoakan supaya baginda selamat dunia akhirat,” kata ibu kepada empat anak itu.

Katanya lagi, rumahnya biasanya menjadi kawasan pertama yang dinaiki air banjir setiap tahun dan yang terakhir yang akan surut.

“Memang boleh dikatakan setiap tahun rumah makcik akan banjir. Alhamdulillah makcik dimaklumkan rumah yang baharu ini akan dibina dengan tiang yang lebih tinggi. Insya-Allah air banjir tidak akan masuk rumah selepas ini.

“Makcik juga dimaklumkan juga rumah ini akan disiapkan dalam tempoh 12 minggu lagi,” katanya.

YANG DI-PERTUAN AGONG  TURUN PADANG TINJAU PEMBINAAN RUMAH

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah berkenan mengurniakan bantuan bagi membina rumah baharu kepada mangsa yang terjejas di daerah Pekan hari ini.

Keprihatinan Baginda terserlah apabila turut berangkat turun padang bagi meninjau sendiri tapak pembinaan rumah baharu tersebut. Seri Paduka turut diiringi empat anakanda, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.

Sejurus tiba di Kampung Tanjung Pulai, kira-kira 4 petang, Baginda diberi taklimat ringkas oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang, Hafizah Zakaria yang memaklumkan kerja-kerja pembinaan rumah setingkat itu akan bermula pada minggu depan.

Menurut Hafizah, pembinaan rumah yang mempunyai tiga bilik selain dilengkapi ruang makan dan tandas itu akan mengambil masa sekitar tiga hingga empat bulan yang dibina di atas tanah milik mangsa banjir sendiri. Malah baginda turut berangkat turun padang bagi meninjau sendiri pembinaan dua Rumah Bantuan Banjir di Kampung Sungai Ganchong, Acheh dan Kampung Tanjung Pulai, hari ini.

yang di-pertuan agong

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melihat proses pembinaan rumah baru kepada mangsa banjir.

yang di-pertuan agong

Seri Paduka turut diiringi empat anakanda, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.

Sumber : BERITA HARIAN

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More