Doa Hari Arafah: Waktu Mustajab Untuk Memohon Segala Hajat

Doa hari Arafah adalah waktu mustajab untuk memohon segala doa dan hajat kerana hari Arafah merupakan hari pelepasan daripada api neraka, iaitu Allah SWT melepaskan daripada azab api neraka bagi mereka yang wukuf di Arafah dan kaum muslimin di negara lain yang tidak berwukuf.
Bagi yang tidak mengerjakan haji, kita masih boleh merebut pahala melalui amalan sunat hari Arafah kerana kesemuanya layak mendapat keampunan dosa dan terlepas daripada azab api neraka pada hari tersebut.
Justeru, tarikh 9 Zulhijjah adalah hari yang sangat agung dalam Islam kerana ia bukan hanya untuk jemaah haji, tetapi seluruh umat Islam disarankan berpuasa dan memperbanyakkan doa Hari Arafah.
Isi Kandungan
Kelebihan Doa Hari Arafah
Nabi Muhammad SAW bersabda:
خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ
Maksudnya: “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah.”
Riwayat Al-Tirmizi
Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللهُ فِيهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ، مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ
Maksudnya: “Tidak ada satu hari yang lebih banyak dibebaskan hamba-Nya daripada api neraka melainkan pada hari Arafah.”
Riwayat Muslim

Cadangan Zikir & Doa Hari Arafah
Hari Arafah adalah hari yang paling dinanti-nantikan kerana mustajabnya doa yang dipanjatkan.
Berikut adalah antara zikir dan doa-doa pilihan yang kita boleh amalkan sebagai doa hari Arafah pada 9 Zulhijjah nanti:
| Zikir Nabi Muhammad SAW Semasa Hari Arafah | لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ Maksudnya: “Tiada Tuhan melainkan Allah semata dan tiada sekutu bagi-Nya, milik-Nya lah segala kerajaan dan pujian dan Dialah Maha Menguasai atas segala sesuatu.” |
| Doa Penyerahan Diri Kepada Allah SWT | اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ كَالَّذِي نَقُولُ وَخَيْرًا مِمَّا نَقُولُ اللَّهُمَّ لَكَ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي وَإِلَيْكَ مَآبِي وَلَكَ رَبِّ تُرَاثِي اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَوَسْوَسَةِ الصَّدْرِ وَشَتَاتِ الْأَمْرِ اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا تَجِيءُ بِهِ الرِّيحُ Maksudnya: “Ya Allah, segala puji bagi-Mu seperti yang kami ucapkan, dan lebih baik daripada apa yang kami ucapkan. Ya Allah, untuk-Mu solatku, ibadah hajiku, hidupku dan matiku. Kepada-Mu aku akan kembali, dan milik-Mu wahai Tuhanku kekayaanku. Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada seksaan kubur, keraguan hati, serta kekacauan urusanku. Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada kejahatan yang dibawa oleh angin.” |
| Sayyidul Istighfar (Penghulu Istighfar) | اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لاَ إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ Maksudnya: “Ya Allah, Engkau adalah Rabbku, tidak ada Ilah yang berhak disembah dengan benar melainkan Engkau. Engkau yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu. Aku di atas perjanjian-Mu dan janji-Mu sesuai dengan kemampuanku. Aku berlindung kepada-Mu dari keburukan perbuatanku, aku mengakui nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku kepada-Mu, maka ampunilah aku. Ini kerana, tiada yang dapat mengampuni dosa melainkan Engkau.” |
| Doa Memohon Keampunan Daripada Allah SWT | اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْمًا كَثِيرًا وَلَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ فَاغْفِرْ لِي مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ وَارْحَمْنِي إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ Maksudnya: “Ya Allah, sungguh aku telah menzalimi diriku dengan banyak kezaliman dan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah aku dengan sebuah pengampunan dari sisi-Mu dan rahmatilah aku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.’’ |
| Doa Memohon Keampunan Bagi Kedua Ibu Bapa | رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.” |
| Doa Memohon Rahmat Daripada Allah SWT | رَبَّنَآ ءَامَنَّا فَٱغْفِرْ لَنَا وَٱرْحَمْنَا وَأَنتَ خَيْرُ ٱلرَّٰحِمِينَ Maksudnya: “Ya Tuhan kami, kami telah beriman, maka ampunilah kami dan berilah kami rahmat dan Engkau adalah Pemberi rahmat Yang Paling Baik.” |
| Doa Agar Ditetapkan Hati Dalam Ketaatan | رَبَّنَا لاَ تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan berilah kepada kami rahmat dari sisiMu. Sesungguhnya Engkau Maha Pemberi.” |
| Doa Agar Dikurniakan Keturunan Yang Menyejukkan Mata | رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ اَزْوَاجِنَا وَذُرِّيّٰتِنَا قُرَّةَ اَعْيُنٍ وَّاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِيْنَ اِمَامًا Maksudnya: “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyejuk mata (kami), dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang yang bertakwa.” |
| Doa Agar Menjadi Hamba-Nya Yang Sentiasa Bersyukur | رَبِّ أَوْزِعْنِىٓ أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ ٱلَّتِىٓ أَنْعَمْتَ عَلَىَّ وَعَلَىٰ وَٰلِدَىَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَٰلِحًا تَرْضَىٰهُ وَأَدْخِلْنِى بِرَحْمَتِكَ فِى عِبَادِكَ ٱلصَّلِحِينَ Maksudnya: “Ya Tuhanku berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada dua orang ibu bapaku dan untuk mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang soleh.” |
| Doa Dijauhi Rasa Hasad Dengki | رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ Maksudnya: Ya Tuhan kami, ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu daripada kami, dan janganlah Engkau tanamkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman. Ya Tuhan kami, Sungguh, Engkau Maha Penyantun, Maha Penyayang. |
Waktu Terbaik Untuk Doa Hari Arafah
Sekiranya seseorang itu berada di Malaysia, maka dia boleh berdoa bermula daripada masuknya 9 Zulhijjah mengikut waktu tempatan.
Sekiranya dia berada di Arab Saudi, maka dia perlu mengikut waktu wukuf di Arafah berdasarkan waktu tempatan di sana dan ia bermula selepas tergelincirnya matahari pada waktu Zohor sehinggalah terbenamnya matahari pada waktu Maghrib.
Sekiranya mampu untuk berdoa pada waktu yang sama dengan waktu wukuf bagi mereka melakukan haji, maka itu adalah lebih baik. Disarankan juga berpuasa pada hari tersebut bagi bukan jemaah haji.

Semoga perkongsian doa Hari Arafah ini bermanfaat! Selamat beramal dan jangan lepaskan peluang setahun sekali sahaja ini!




