Resepi Masak 1 KG Daging Dendeng Mudah & Paling Sedap!

Stok daging korban banyak lagi di dalam peti ais dan sudah buntu nak masak menu apa lagi?
Jangan risau! Apa kata ibu-ibu cuba buat daging dendeng pula!
Berikut admin ingin kongsikan satu resepi untuk membuat daging dendeng yang menggunakan 1 kilogram daging yang boleh dicuba dirumah.
Isi Kandungan
Resepi Daging Dendeng
Resepi daging dendeng yang admin ingin kongsikan ini sangat mudah untuk dibuat dan resepi ini adalah perkongsian daripada Khairulaming.
Daging dendeng ini sesuai dimakan dengan nasi putih atau nasi minyak atau sesuai juga dimakan dengan nasi tomato.

Khairulaming adalah seorang pencipta kandungan digital (content creator), personaliti media sosial dan ahli perniagaan Malaysia yang sangat terkenal di Malaysia dengan tagline “Hey, what’s up guys?” pada permulaan setiap videonya.
Follow akaun TikTok dan Instagram Khairulaming untuk dapatkan resepi terkini, menarik dan viral yang dikongsikan olehnya.
Khairulaming juga menjual Dendeng Nyet Berapi yang sangat disukai oleh rakyat Malaysia dan pernah mencipta sejarah apabila jualan produk keduanya itu mencapai lebih RM1.2 juta dalam tempoh 3 minit 39 saat sahaja, sebaik dilancarkan di platform TikTok Shop.
Tapi, resepi yang admin ingin kongsikan pada kali ini adalah resepi daging dendeng yang boleh dimakan oleh pelbagai peringkat umur dan bukan versi pedas berapi seperti mana yang dijual oleh Khairulaming.
Jom kita teruskan dengan resepi daging dendeng ini!
Bahan-Bahan
Bahan-bahan untuk membuat daging dendeng ini adalah seperti berikut:
- 1 Kg Daging
- Air Secukupnya Untuk Rebusan
- Kicap Manis
- 4 Batang Serai
- Halia Sebesar Ibu Jari
- 4 Biji Bawang Merah
- 6 Ulas Bawang Putih
- Segenggam Cili Kering Yang Telah Direbus
- 3 Helai Daun Limau Purut Yang Telah Dicarikkan
- Garam
- Gula
- Serbuk Perasa
- Air Asam Jawa
- 6 Biji Cili Padi
Cara Penyediaan
Cara-cara untuk memasaknya pula adalah seperti langkah-langkah berikut:
- Masukkan daging ke dalam periuk, isikan air dan rebus selama 45 minit supaya daging betul-betul empuk.
- Selepas rebus, hiris nipis daging dan ketukkan sedikit daging itu dengan menggunakan lesung batu supaya daging tercarik sedikit demi sedikit. Simpan sedikit air rebusan daging.
- Kemudian, gaulkan daging yang telah dicarik itu dengan kicap manis.
- Seterusnya, goreng sekejap daging itu supaya daging lebih juicy dan melekat elok dengan kicap tadi. Ketepikan.
- Sementara itu, kisar serai, halia, bawang merah, bawang putih dan cili kering sehingga hancur.
- Kemudian, tumis semua bahan kisar tadi.
- Apabila tumis mula kering, boleh masukkan air rebusan daging yang kita simpan tadi.
- Tumis sehingga pecah minyak dan barulah masukkan 1 cawan lagi kicap manis.
- Masukkan daun limau purut yang telah dicarikkan.
- Masukkan garam, gula dan serbuk perasa secukupnya.
- Tambahkan air asam jawa sedikit.
- Akhir sekali, masukkan daging yang telah digoreng tadi dan masukkan cili padi yang telah diketuk.
- Kacau rata dan sedia untuk dihidang.
Tips Simpan Daging Korban Yang Betul
Sempena Hari Raya Aidiladha, sesetengah umat Islam menjalankan ibadah korban seperti yang telah disyariatkan. Daging korban tersebut akan diagihkan sesama umat Islam terutamanya kepada fakir miskin.
Sehubungan itu, cara penyimpanan daging korban yang betul perlu dititikberatkan oleh semua untuk mengelakkannya daripada dicemari kuman, bendasing dan bahan pencemar yang lain.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah kongsikan tips simpan daging korban yang betul bagi mengekalkan kualiti, kebersihan dan kesegarannya sepanjang tempoh penyimpanannya, iaitu seperti berikut:
- Jangan masukkan terus daging bersama plastik yang tidak bersih ke peti sejuk.
- Buang bendasing yang terlekat pada daging seperti daun pisang, pasir dan serpihan kayu.
- Asingkan simpanan daging dengan bahan makanan yang boleh dimakan terus (RTE) seperti ais krim supaya mengelakkan pencemaran silang berlaku.
- Letak di bahagian sejuk beku yang suhunya sama atau kurang dari -18 darjah celcius.
- Potong daging kepada bahagian yang lebih kecil dan dimasukkan ke dalam bekas plastik berpenutup mengikut kegunaan biasa di rumah.
- Simpan dalam peti sejuk beku dengan segera sekiranya ingin dimasak kemudian.

Resepi Tambahan
Seterusnya, berikut adalah antara menu yang menggunakan daging yang sedap dan mudah juga untuk dicuba dirumah, iaitu:
- Resepi Daging Masak Hitam
- Resepi Daging Goreng Ala-Ala Masakan Thai
- Resepi Daging Masak Merah Ala-Ala Masakan Thai
- Resepi Kerabu Daging Ala-Ala Thai
- Resepi Sup Tulang
Semoga perkongsian ini bermanfaat dan selamat mencuba!