Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Maksud Sebenar Duyufurrahman & Doa Menjadi “Tetamu Allah”

Berikut dikongsikan sedikit info mengenai maksud sebenar duyufurrahman untuk pengetahuan semua umat Islam di luar sana.

Isi Kandungan

Apa Itu Duyufurrahman?

“Duyufurrahman” ialah frasa dalam bahasa Arab dan Melayu yang diterjemahkan kepada “tetamu Allah” atau “tetamu dari Yang Maha Pengasih” dan ia adalah istilah yang digunakan untuk menggambarkan mereka yang diberi penghormatan untuk menunaikan ibadah Haji, iaitu ziarah Islam utama ke Makkah.

Menjadi duyufurrahman dianggap satu rahmat dan keistimewaan kerana ia menandakan hubungan istimewa seseorang dengan Allah SWT.

Para jemaah yang terpilih adalah dalam kalangan ribuan, malahan jutaan orang yang ingin menjejakkan kaki ke bumi Baitullah.

Tidak ada perjalanan, tidak ada pengalaman rohani, ataupun peluang untuk berhubung dengan Allah SWT yang cukup besar seperti Haji, kerana ia menandakan tindakan luar dari perjalanan secara fizikal dan tindakan ke dalam setiap perenungan iman mereka.

Saudaraku duyufurrahman, ibadah Haji merupakan anugerah agung Allah SWT kepada yang dapat menapak kakinya ke Tanah Haram, bumi bertuah Makkah dan Madinah.

Dengan sempurnanya ibadah Haji, sebuah perasaan tenang, lega dan bahagia jelas terpancar pada hati duyufurrahman. Itulah nikmat agung yang diperolehi oleh hamba Allah yang menunaikan Haji.

Justeru, dengan ‘semangat Haji’ itu hendaklah kita pertahankan:

  1. Hati kita dengan sebaik mungkin daripada riya’, ujub, takabbur dan lain-lain.
  2. Awasilah diri kita daripada sifat-sifat yang mazmumah.
  3. Perbuatan kita agar sentiasa diredhai Allah SWT.
  4. Menjadi pendakwah kepada umat Islam dengan menjadi agen perubah masyarakat ke arah yang lebih baik.

Satu istilah Rasulullah SAW tentang Haji, daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

العُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا وَالْحَجَّ الْمَبْرُوْرُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلاَّ الْجَنَّةَ

Maksudnya: “Umrah kepada umrah yang seterusnya dapat mengkifaratkan dosa antara keduanya dan Haji Mabrur tiada balasan kecuali syurga.”

Riwayat Al-Bukhari & Muslim

Pendapat yang asah (yang paling sahih) menyatakan bahawa yang mabrur ialah yang tidak dicemari dengan dosa.

Dikatakan juga sebagai maqbul (diterima). Daripada tanda penerimaan bahawa seseorang itu pulang di mana keadaannya dan sikapnya lebih baik daripada sebelumnya. Beliau juga tidak mengulangi maksiat.           

Justeru, apabila dijemput menjadi duyufurrahman, ambillah peluang ini untuk menjadi tetamu Allah yang paling terbaik dan laksanakanlah segala perintah Allah SWT dengan sebaiknya.

Maksud Sebenar Duyufurrahman & Doa Menjadi "Tetamu Allah" 1

Tindakan Duyufurrahman Supaya Kekal Sihat Apabila Dijemput Menjadi Tetamu Allah

Apabila sudah dijemput, kita perlulah bersedia dan berada dalam keadaan yang sihat untuk menjadi tetamu Allah.

Berikut adalah tindakan yang perlu dilakukan untuk kekal sihat sebelum menjadi tetamu Allah, iaitu:

  • Dapatkan rawatan segera sekiranya bergejala atau sakit.
  • Makan ubat mengikut jadual.
  • Kerap minum air kosong.
  • Memakai pelitup muka di tempat tumpuan.
  • Melakukan aktiviti fizikal seperti berjalan pantas.
  • Makan secara sihat.
  • Bijak menangani stress.
  • Melakukan pemeriksaan kesihatan berkala.
  • Tidak merokok.

Berikut pula adalah tindakan yang perlu dilakukan untuk kekal sihat semasa menjadi tetamu Allah, iaitu:

  • Memakai pelitup muka semasa berada di tempat yang sesak.
  • Mengamalkan cuci tangan dengan betul.
  • Menjalani ujian RTK-Ag COVID-19 kendiri sekiranya bergejala.
  • Jangan berkongsi keperluan peribadi dengan orang lain.
  • Elakkan mengunjungi ladang haiwan seperti ladang unta yang berisiko terdedah kepada virus MERS-CoV.

Berikut pula adalah tindakan yang perlu dilakukan untuk kekal sihat selepas menjadi tetamu Allah, iaitu:

  • Menjalani ujian RTK-Ag COVID-19 kendiri sekiranya bergejala.
  • Mengasingkan diri dan dapatkan rawatan sekiranya bergejala.
  • Tidak menerima tetamu sekiranya bergejala.

Doa Agar Dijemput Menjadi Tetamu Allah

Jika kita masih belum berpeluang untuk menjadi duyufurrahman, perbanyakkanlah berdoa dengan yakin kepada Allah SWT untuk menjadi tetamuNya pada masa yang akan datang.

Antara doa yang boleh kita amalkan agar dijemput menjadi tetamu Allah adalah seperti berikut:

اَللّٰهُمَّ ارْزُقْنَا زِيَارَةَ بَيْتِكَ الْمُعَظَّمِ، وَرَسُولِكَ الْمُكَرَّمْ فِى هٰذَا الْعَامِ، وَفِي كُلِّ الْعَام فِى اَحْسَنِ الْحَالِ

Maksudnya: “Ya Allah kurniakanlah kepada ku peluang untuk menziarahi rumahMu yang Agung dan (peluang menziarahi) RasulMu yang mulia, di tahun ini dan pada setiap tahun, dalam keadaan (sihat dan) sebaik-baik keadaan.”

Maksud Sebenar Duyufurrahman & Doa Menjadi "Tetamu Allah" 2

Selamat Menunaikan Ibadah Haji kepada semua umat Islam yang dijemput menjadi tetamu-Nya! Semoga peroleh Haji Mabrur, Aamiin Ya Mujib.

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More