Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Jenis, Golongan, Kelebihan & Doa Mati Syahid Di Jalan Allah SWT

Berikut adalah sedikit perkongsian mengenai mati syahid untuk pengetahuan semua umat Islam di luar sana.

Isi Kandungan

Apa Itu Mati Syahid?

Mati syahid bermaksud seorang Islam yang maut ketika berperang atau berjuang di jalan Allah SWT membela kebenaran atau mempertahankan hak dengan penuh kesabaran dan keikhlasan untuk menegakkan agama Allah SWT.

Siapa yang berjuang membela harta miliknya, jiwanya, keluarganya, agamanya dan meninggal dalam perjuangannya itu, maka ia meninggal fi sabilillah atau mati syahid.

Mati syahid merupakan cita-cita tertinggi umat Islam.

Salah satu jalan menuju mati syahid adalah berjuang di jalan Allah, iaitu jihad fi sabilillah.

Firman Allah SWT:

وَلَا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَمْوَاتًا بَلْ أَحْيَاءٌ عِنْدَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ

Maksudnya: “Dan jangan sekali-kali kamu menyangka orang yang terbunuh (gugur syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki.”

Surah Ali ‘Imran: 169

Jenis, Golongan, Kelebihan & Doa Mati Syahid Di Jalan Allah SWT 1

Jenis-Jenis Mati Syahid

Pada asasnya, kita tidak boleh menentukan dengan khusus atau mengatakan seseorang itu mati syahid kecuali mereka yang telah dipersaksikan oleh Rasulullah SAW atau yang telah disepakati oleh umat atas kesyahidannya.

Hal ini kerana hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui hakikat seseorang itu sama ada syahid atau sebaliknya.

Syahid itu terbahagi kepada tiga (3) jenis mengikut pandangan jumhur ulama’, iaitu seperti berikut:

Syahid Dunia Dan AkhiratOrang-orang beriman yang ikhlas berjuang di jalan Allah SWT untuk meninggikan syiar agama dan mengharapkan keredhaan Allah SWT semata-mata serta mati di medan peperangan. Mereka tidak lagi berada dalam keadaan hayah mustaqirrah (masih hidup) sebelum berakhirnya peperangan dengan golongan musyrikin.
Dia dianggap syahid akhirat kerana di sisi Allah SWT mereka mendapat pahala syahid dan dianggap sebagai syahid dunia kerana mereka tidak dimandikan, tidak dikafankan dan tidak disolatkan. Bahkan mereka ditanam secara terus bersama dengan darah dan pakaian mereka.
Syahid DuniaSesiapa yang meninggal dunia kerana berperang di jalan Allah SWT tetapi dalam masa yang sama melakukan mawani’ al-syahadah (perkara yang menghalang daripada mendapatkan syahid) seperti berjuang di jalan Allah SWT kerana inginkan ghanimah (harta rampasan) semata-mata, atau berjuang untuk dikatakan berani, atau untuk mendapatkan kedudukan di sisi manusia atau seumpamanya (dengan tujuan keduniaan), maka dia dianggap syahid dunia iaitu tidak dimandikan, dikafakankan dan disolatkan. Sementara itu dia tidak dianggap sebagai syahid akhirat iaitu tidak mendapat pahala syahid yang sempurna dan urusannya di akhirat adalah antara dia dengan Allah SWT.
Syahid AkhiratAdapun syahid akhirat ialah selain daripada golongan yang telah disebutkan di atas, iaitu sesiapa yang syahid bukan di medan peperangan akan tetapi disebutkan dalam hadis dengan istilah syahid. Contohnya seperti orang yang meninggal dunia kerana penyakit perut, taun, ditimpa runtuhan bangunan dan lain-lain sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis sebagai syahid. Mereka dikurniakan dengan pahala dan ganjaran sebagai orang yang syahid di akhirat tetapi ganjarannya tidak sama dengan golongan yang pertama (syahid dunia dan akhirat). Adapun hukumnya di dunia adalah sama seperti kebiasaan orang yang meninggal dunia iaitu wajib dimandikan, dikafankan dan disolatkan.

Golongan Mati Syahid

Daripada Abu Hurairah RA. dia berkata, Rasulullah SAW bersabda:

الشُّهَداءُ خَمْسَةٌ: المَطْعُونُ، والمَبْطُونُ، والغَرِقُ، وصاحِبُ الهَدْمِ، والشَّهِيدُ في سَبيلِ اللَّهِ

Maksudnya: “Orang yang mati syahid ada lima golongan iaitu:

  1. Orang yang mati kerana taun,
  2. Mati kerana penyakit perut,
  3. Mati lemas,
  4. Ditimpa runtuhan, dan
  5. Syahid di jalan Allah.”

Hadis Riwayat Al-Bukhari

Imam Al-Nawawi menyebutkan bahawa kesemua jenis kematian itu dianggap sebagai mati syahid disebabkan kelebihan kurniaan Allah SWT kepada mereka kerana dahsyatnya kesakitan dan kepedihan kematian tersebut yang ditanggung mereka.

Di samping itu, terdapat beberapa golongan lagi yang diberi pahala syahid akhirat berdasarkan banyaknya hadis sahih yang menyebutkan sebab-sebab kesyahidan tersebut serta ia merupakan ciri-ciri yang masyhur dalam kalangan para ulama’, antaranya seperti berikut:

  1. Orang yang mati kerana penyakit berjangkit.
  2. Orang yang mati kerana penyakit perut.
  3. Orang yang mati lemas.
  4. Orang yang mati dihempap bangunan.
  5. Orang yang mati kerana kebakaran.
  6. Orang yang mati kerana dizalimi.
  7. Orang yang mati kerana berkata benar dihadapan pemimpin yang zalim.
  8. Orang yang mati dalam keadaan menuntut ilmu.
  9. Wanita yang mati ketika bersalin.
  10. Orang yang mati kerana mempertahankan agamanya, nyawanya, hartanya dan keluarganya.

Isu Terkini: Adakah Kemalangan Bas Melibatkan Pelajar UPSI Yang Terkorban Dikatakan Mendapat Syahid?

Terkait kemalangan bas melibatkan pelajar UPSI yang sebahagiannya meninggal dunia, apakah boleh kita mengatakan mangsa mendapat syahid?

Jawapannya, YA. Ini berdasarkan apa yang disabdakan oleh baginda Rasulullah SAW maksudnya:

“Orang yang jatuh dari tunggangan lalu meninggal, maka dia syahid.”

Hadis Riwayat At-Thobrani

Kesemua mangsa bahkan mendapat dua kali syahid kerana bukan sahaja maut dalam kemalangan, malah mereka ‘pergi’ ketika dalam perjalanan untuk menuntut ilmu.

Ini kerana perjalanannya menuju ke medan ilmu berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW yang lain. Baginda bersabda:

“Barang siapa yang keluar untuk mencari ilmu atau menuntut ilmu, maka dia adalah orang yang berjihad fi sabilillah sehingga ia kembali pulang.”

Hadis Riwayat At-Tirmizi

Menuntut ilmu umpama jihad, maka mati di medan jihad syahid bermaksud meninggal di medan ilmu syahid.

Maka berkumpullah dua syahid kepada mangsa-mangsa kemalangan bas yang membawa pelajar UPSI tersebut.

Kelebihan Mati Syahid

Firman Allah SWT:

فَلْيُقَاتِلْ فِيْ سَبِيْلِ اللّٰهِ الَّذِيْنَ يَشْرُوْنَ الْحَيٰوةَ الدُّنْيَا بِالْاٰخِرَةِ وَمَنْ يُّقَاتِلْ فِيْ سَبِيْلِ اللّٰهِ فَيُقْتَلْ اَوْ يَغْلِبْ فَسَوْفَ نُؤْتِيْهِ اَجْرًا عَظِيْمًا

Maksudnya: “Dan barangsiapa berperang di jalan Allah, lalu gugur atau memperoleh kemenangan maka akan kami berikan pahala yang besar kepadanya.”

Surah An-Nisa’: 74

Daripada Miqdam bin Ma’dikarib, Sabda Rasulullah SAW:

للشهيد عند الله ست خصال: يُغفر له في أول دَفعة ويَرى مقعده من الجنة، ويجار من عذاب القبر، ويأمن من الفزع الأكبرِ، ويوضع على رأسه تاج الوقار؛ الياقوتة منها خير من الدنيا وما فيها، ويزوج اثنتين وسبعين زوجة من الحورِ العِين، ويشفّع في سبعين من أقاربه

Maksudnya: “Bagi orang yang mati syahid ada 6 keistimewaan, iaitu:

  1. Diampuni dosanya sejak mulai pertama darahnya meluncur keluar,
  2. Diperlihatkan tempatnya di dalam syurga,
  3. Dilindungi dan diselamatkan dari azab kubur,
  4. Terjamin keamanannya dari malapetaka besar merasakan kemanisan iman,
  5. Dikahwinkan dengan bidadari, dan
  6. Diperkenankan memberikan syafa’at bagi 70 orang kerabatnya.”

Syahid Fi Sabilillah Tanpa Keluar Berjihad

Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ طَلَبَ ٱلشَّهَادَةَ صَادِقًا أُعْطِيَهَا، وَلَوْ لَمْ تُصِبْهُ

Maksudnya: “Siapa yang meminta mati syahid dengan benar-benar ikhlas (dari hatinya), pasti akan diberikan pahala kedudukan syuhada’ itu kepadanya, walaupun dia mati bukan sebagai syuhada’.”

Hadis Riwayat Muslim

Ini menunjukkan kita sangat disunatkan untuk memohon syahid dan berniat baik.

Berikut adalah doa mati syahid di jalan Allah SWT:

Jenis, Golongan, Kelebihan & Doa Mati Syahid Di Jalan Allah SWT 2

Marilah sama-sama kita amalkan doa tersebut dalam kehidupan seharian dengan harapan dikurniakan mati syahid di jalan-Nya, Allahumma Aamiin.

Diharapkan perkongsian ini bermanfaat untuk semua umat Islam di luar sana.

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. AcceptRead More