Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Panduan Solat Jenazah: Syarat, Rukun, Niat, Cara Solat & Kelebihan

Berikut adalah panduan ringkas untuk melakukan solat jenazah.

Isi Kandungan

Apa Itu Solat Jenazah?

Solat jenazah adalah solat fardu kifayah yang dilakukan ke atas orang Islam yang telah meninggal dunia dan ia terdiri daripada empat (4) takbir dan tidak mempunyai rukuk atau sujud.

Fardu kifayah bermaksud jika sudah dilakukan oleh sebahagian umat Islam, maka gugur kewajipan tersebut ke atas yang lain.

Ini bermaksud, apabila sebahagian umat Islam telah melakukannya, maka kewajiban terhadap umat Islam yang lain juga turut gugur. Sebaliknya, jika tiada sesiapa yang melakukannya, maka semuanya akan berdosa.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sembahyangkanlah oleh kamu akan orang-orang yang mati dari kalangan kamu.”

Hadis Riwayat Ibn Majah

Syarat sah Solat Jenazah adalah sama dengan syarat-syarat solat yang lain seperti menutup aurat, bersih badan dan pakaian daripada najis dan menghadap kiblat.

Sebelum disolatkan, pastikan jenazah sudah dimandikan, dikafankan dan diletakkan di hadapan imam.

Jenazah itu hendaklah diletakkan di hadapan jemaah (di sebelah kiblat) kecuali Solat Jenazah Ghaib.

Jenazah lelaki diletakkan di sebelah kanan imam dan jenazah perempuan di sebelah kiri imam.

Panduan Solat Jenazah: Syarat, Rukun, Niat, Cara Solat & Kelebihan 1

Rukun Solat Jenazah

  1. Niat di dalam hati ketika takbiratul ihram. Contoh niat: “Sahaja aku solat ke atas mayat ini (lelaki / perempuan), empat takbir, fardhu kifayah kerana Allah Ta’ala.”
  2. Berdiri tegak bagi yang mampu.
  3. Empat kali takbir, termasuk takbiratul ihram.
  4. Membaca Al-Fatihah selepas takbir pertama.
  5. Membaca selawat ke atas Nabi Muhammad SAW selepas takbir kedua.
  6. Membaca doa untuk jenazah selepas takbir ketiga.
  7. Memberi salam ke kanan dan kiri selepas takbir keempat.

Cara Ringkas Solat Jenazah

Jumlah takbir di dalam Solat Jenazah adalah sebanyak 4 kali takbir. Ini berdasarkan perbuatan Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A:

نَعَى لِلنَّاسِ النَّجَاشِىَ فِى الْيَوْمِ الَّذِى مَاتَ فِيهِ فَخَرَجَ بِهِمْ إِلَى الْمُصَلَّى وَكَبَّرَ أَرْبَعَ تَكْبِيرَاتٍ

Maksudnya: “Rasulullah menangisi Najasyi di hadapan orang ramai pada hari kematiannya. Kemudian Baginda keluar ke tempat solat dan bertakbir sebanyak 4 takbir.”

Hadis Riwayat Muslim

Berikut adalah cara ringkas Solat Jenazah dengan melakukan 4 takbir, iaitu:

  • Takbir Pertama: Lafazkan takbiratul ihram sambil berniat. Baca Surah Al-Fatihah.
  • Takbir Kedua: Lafazkan takbir kedua. Baca selawat ke atas Nabi Muhammad SAW atau Selawat Ibrahimiyah.
  • Takbir Ketiga: Lafazkan takbir ketiga. Baca doa untuk jenazah.
  • Takbir Keempat: Lafazkan takbir keempat. Memberi salam ke kanan dan kiri.
Panduan Solat Jenazah: Syarat, Rukun, Niat, Cara Solat & Kelebihan 2

Perkara Sunat Dalam Solat Jenazah

Sunat menyembahyangkan jenazah sebagaimana yang berikut:

  1. Imam hendaklah berdiri bertentangan dengan kepala jenazah lelaki dan berdiri bertentangan dengan pinggang jenazah perempuan atau khunsa.
  2. Kepala jenazah lelaki hendaklah diletakkan di sebelah kiri imam. Manakala, kepala jenazah perempuan dan khunsa diletakkan di sebelah kanan imam. Menurut kebiasaannya kepala jenazah lelaki itu juga diletakkan di sebelah kanan imam.
  3. Hendaklah jenazah itu disembahyangkan di masjid dan secara berjemaah.
  4. Makmum hendaklah berdiri berbaris tiga barisan (tiga saf).
  5. Mengangkat kedua belah tangan waktu mengucapkan takbir yang empat dan meletakkan kedua tangan di atas pusat di bawah dada sebagaimana sembahyang-sembahyang yang lain.
  6. Membaca أَعُوْذُ بِاللَّهِ sebelum membaca Al-Fatihah.
  7. Memperlahankan (tidak nyaring) semua bacaan walaupun di waktu malam.
  8. Berdoa untuk seluruh muslimin dan muslimat.

Kelebihan Solat Jenazah

Kelebihan utama Solat Jenazah ialah memperoleh ganjaran pahala yang sangat besar, di mana solat atas jenazah akan mendapat pahala satu qirat (setara dengan Gunung Uhud), dan menyaksikannya sehingga pengebumian akan mendapat pahala dua qirat.

Selain itu, ia juga merupakan kewajipan fardu kifayah, iaitu satu tanggungjawab sesama Muslim untuk mendoakan jenazah agar diampunkan dosanya, serta menunjukkan keikhlasan dan kasih sayang antara umat Islam.

Banyak kelebihan Solat Jenazah antaranya memberi penghormatan terakhir kepada jenazah, melahirkan rasa keinsafan, mengingatkan kita kepada kematian dan memohon rahmat kepada jenazah.

Selain itu, kita juga mendoakan agar jenazah Muslim diampunkan dosanya, dirahmati dan ditempatkan di syurga. Ini adalah satu bentuk kasih sayang dan kepedulian terhadap jenazah yang telah kembali kepada Allah SWT.

Diharapkan semoga dengan panduan yang dikongsikan ini, kita akan dapat menunaikan Solat Jenazah dengan sempurna.

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. AcceptRead More