Sumber Rujukan Globalisasi Anda

Yasin Atau Al Kahfi Dibaca Malam Jumaat?

Yasin adalah surah yang sering dikaitkan dengan amalan ‘wajib’ pada setiap malam Jumaat. Ada orang yang telah menetapkan setiap malam Jumaat wajib dia membaca surah Yasin selepas solat Maghrib. Pun begitu, terdapat juga persoalan di mana ada yang bertanya berkenaan bagaimana dengan amalan surah al Kahfi? Bukankah pada malam atau hari Jumaat kita dianjurkan untuk baca surah al Kahfi? Jadi nak kena baca surah Yasin atau al Kahfi?

Isi Kandungan

Malam Jumaat, Yasin atau al Kahfi?

Untuk menjawab persoalan di atas, mari kita baca perkongsian Ustaz Azhar Idrus menerusi laman sosial rasmi miliknya berkenaan isu ini. Jelas beliau, seeloknya yang diamalkan setiap malam Jumaat adalah surah al Kahfi, dalilnya adalah seperti berikut:

Dari Abu Sa’id al-Khudri ra Rasulullah bersabda :

مَنْ قَرَأَ سُوْرَةَ الْكَهْفِ فِي يَوْمِ الْجُمْعَةِ أَضَآءَ لَهُ مِنَ النُّوْرِ مَا بَيْنَ الْجُمْعَتَيْنِ

Artinya : “Barangsiapa membaca surat Al-Kahfi pada hari Jumaat maka akan terpancar cahaya baginya di antara dua Jumaat.” (Hadith Al-Hakim dan Al-Baihaqi)

Dan kenyataan yang ditulis Ustaz Azhar Idrus adalah seperti berikut:

“Harus hukumnya membaca surah al-Kahfi pada hari atau malam selain jumaat tetapi membacanya pada malam jumaat atau hari jumaat afdhal sebagaimana datang di dalam hadith”

yasin

Namun, bagi mereka yang telah mengamalkan baca surah Yasin di setiap malam Jumaat juga tidak menjadi kesalahan. Ujar beliau:

“Tidak menjadi sebarang kesalahan dan apa yang telah mereka amalkan selama ini mendapat pahala cuma afdhal dibaca surah Al-Kahfi pada malam jumaat. Hadith-hadith sahih menyebut siapa membaca Quran akan mendapat pahala dan kelebihan samada bacaannya itu hukumnya harus atau afdhal.”

Dalil lain surah al Kahfi diharuskan baca pada malam Jumaat

Ada juga hadis dari Abu Sa’id al-Khudri ra Rasulullah bersabda maksudnya:“Barangsiapa yang membaca surat Al-Kahfi pada malam Jumaat, ia akan diterangi dengan cahaya di antara ia dengan Ka’bah.” (Hadis sahih, HR Ad-Darimi)

Kalau nak lebih yakin lagi, Imam Syafie rahimahullah pernah kata:

“Telah sampai dalil kepadaku bahwa orang yang membaca surat Al-Kahfi akan terjaga dari fitnah Dajjal. Dan aku menyukai (seseorang itu) memperbanyak selawat kepada Nabi shallallahu ’alaihi wasallam di setiap waktu. Dan pada hari Jumaat serta malam Jumaat, lebih ditekankan lagi anjurannya. Dan aku juga menyukai (menganjurkan) seseorang untuk membaca surat Al-Kahfi pada malam Jumaat dan pada hari Jumaat karena terdapat dalil mengenai hal ini.” (Kitab al-Umm, jilid 1 hlm. 208)

Tiada salahnya baca Yasin

Pendek kata, hanya surah al Kahfi yang boleh kita baca secara tetap setiap minggu pada hari Jumaat untuk mengejar fadilat.

Ada pun surah Yasin eloklah dibaca mengikut masa kita tanpa menetapkan harinya. Namun jika terbaca yasin pada hari Jumaat pun tiada masalah asalkan jangan menetapkannya setiap Jumaat seperti al Kahfi.

yasin

Kelebihan surah Yasin

Bagi berbicara lanjut mengenai fadhilat dan kelebihan surah Yasin, mari kita semak apa yang dikongsi oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi perkongsian di laman rasmi website milik mereka.

Jelas Yang Berbahagia Mufti, membaca surah Yasin adalah satu ibadah dan mendapat pahala bagi sesiapa yang membacanya kerana ia merupakan satu surah daripada surah-surah di dalam al-Quran. Selain itu, hadith Nabi SAW juga menunjukkan bahawa  sesiapa yang membaca al-Quran akan mendapat pahala yang besar. Daripada Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca satu huruf di dalam al-Quran maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan menjadi sepuluh kebaikan yang semisal dengannya. Aku tidak mengatakan “الم” satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf”.[Riwayat al-Tirmizi, no. hadith 2835]

yasin

Untuk kelebihan surah Yasin pula, terdapat sebuah hadith yang dinilai sahih oleh Ibn Hibban walaupun status menjadi perselisihan oleh para ahli hadith, namun Ibn Hibban meletakkan hadith ini di dalam kitabnya Sahih Ibn Hibban. Daripada Jundub bin Abdillah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca surah Yasin pada malam hari untuk mencari redha Allah maka akan diampunkan dosanya”. [Riwayat Ibn Hibban, no. hadith 2574].

Penutup

Justeru, selepas ini mungkin kita boleh ubah sedikit dengan tidak meletakkan kemestian atau kewajipan membaca surah Yasin pada malam Jumaat sahaja. Ini kerana tidak ada seorang pun ulama yang mewajibkan bacaa Yasin pada malam jumaat atau mengatakan surah Yasin hanya boleh dibaca pada malam jumaat sahaja.

yasin

Pesan Ustaz Azhar Idrus, bacalah Al-quran setiap hari sama ada sedikit atau banyak dan yang sudah mengamalkan membaca Yasin pada malam jumaat maka teruskanlah dan tambah satu lagi surah yaitu surah Al-Kahfi kerana sepakat ulama pada afdhal membacanya pada malam Jumaat. Dan baca juga surah Yasin dan surah-surah yang lain seperti surah Al Mulk pada malam-malam selain Jumaat atau siangnya bila berkesempatan kerana bila saja pun dibacakan Quran pasti akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah.

This website uses cookies to improve your experience. We'll assume you're ok with this, but you can opt-out if you wish. Accept Read More