Resepi Daging Goreng Kunyit Ringkas Tapi Paling Sedap

Berikut admin ingin kongsikan satu lagi resepi menggunakan daging lembu korban, iaitu daging goreng kunyit.
Isi Kandungan
Resepi Daging Goreng Kunyit
Resepi daging goreng kunyit yang admin ingin kongsikan ini mudah untuk dibuat dan resepi ini adalah perkongsian daripada Che Nom.
Che Nom, suri rumah dan ibu, gemar berkongsi masakan di Youtube dan blog. Subscribe di Youtube dan Follow di Instagram dan Facebook untuk mendapatkan resepi dan maklumat terkini dari Che Nom.

Daging goreng kunyit ini sangat sesuai dimakan dengan nasi putih panas-panas tambah pula dengan sambal belacan, pasti menambah nasi berpinggan-pinggan!
Bahan-Bahan
Bahan-bahan untuk membuat daging goreng kunyit ini adalah seperti berikut:
- 500g Daging
- ½ Sudu Kecil Garam
- 2 Sudu Kecil Serbuk Kunyit
- ½ Sudu Kecil Lada Sulah
- 1 Sudu Besar Kicap Pekat
- ½ Cawan Minyak Masak
- 4 Ulas Bawang Putih
- 1 Inci Halia
- ½ – 1 Biji Bawang Holland
- 3 Tangkai Cili Merah Besar
- 8 Tangkai Cili Padi Hijau
- 1 Ikat Kacang Panjang
- ½ Cawan Minyak Masak
- 1 Sudu Kecil Serbuk Kunyit (tambahan untuk tumisan)
- Sedikit Serbuk Seasoning
Cara Penyediaan
Cara-cara untuk memasak daging goreng kunyit ini adalah seperti langkah-langkah berikut:
- Hiris daging lembu melawan arah urat. Jika ada lapisan putih tebal (tisu), trim dan buang kerana ia akan keras apabila dimasak.
- Masukkan semua potongan daging ke dalam sebuah mangkuk.
- Perap daging tersebut dengan memasukkan garam, serbuk kunyit, dan lada sulah ke dalam daging.
- Kemudian, tambah pula kicap pekat. Kicap ini fungsinya bukan untuk menjadikan warna daging gelap, tetapi untuk rasa dan membantu daging menjadi lembut.
- Gaul sebati semua bahan perapan dengan daging dalam mangkuk tadi dan perap selama 15 hingga 30 minit.
- Sementara itu, anda boleh sediakan bahan untuk tumisan dan sayuran.
- Pertama sekali, hiris nipis bawang putih dan halia.
- Potong kasar bawang holland dan cili merah besar.
- Untuk cili padi hijau, anda boleh belah di bahagian kepala sahaja atau potong dua.
- Untuk kacang panjang, potong memanjang lebih kurang 1 ½ inci.
- Selepas perapan daging selesai, anda boleh mula menggoreng daging.
- Masukkan daging yang telah diperap ke dalam kuali. Api jangan buka lagi. Kita mahu daging ini tidak terkejut semasa dimasak.
- Selepas daging dimasukkan, barulah buka api pada paras sederhana. Tutup tudung kuali dan biarkan daging keluarkan airnya sendiri.
- Apabila air daging sudah mengering, barulah masukkan minyak masak.
- Kemudian, masukkan bawang putih dan halia yang telah dihiris tadi. Tumis sehingga bawang putih dan halia menjadi lembut dan naik bau.
- Jika anda lihat minyak sedikit kering, jangan risau. Boleh tambah sedikit lagi minyak, atau jika anda suka yang berkuah basah sedikit, boleh tambah sedikit air.
- Kemudian, masukkan serbuk kunyit. Ini untuk bagi warna daging menjadi lebih cantik dan aroma kunyit lebih terasa.
- Seterusnya, masukkan bawang holland, cili merah besar dan cili padi hijau yang telah dipotong tadi.
- Akhir sekali, masukkan kacang panjang.
- Kacau semua bahan sehingga sebati dan sayur menjadi layu sedikit.
- Taburkan sedikit serbuk seasoning untuk menambah rasa.
- Kacau lagi sehingga semua bahan sebati.
- Apabila daging dan sayur sudah masak elok dan rasa juga sudah sedap, boleh terus angkat dan hidangkan panas-panas.
Tips / Petua Masak Daging Supaya Lembut
- Hiris daging nipis melawan arah urat supaya daging menjadi lembut apabila dimasak.
- Jika ada lapisan putih tebal pada daging (white slab atau tisu), kena buang sebab ia akan menjadikan daging itu keras apabila dimasak.
- Masukkan daging ke dalam kuali sebelum api dibuka. Baru buka api perlahan-lahan supaya daging tak terkejut dan kekal lembut.
- Tutup tudung kuali semasa daging mula dimasak dan biarkan daging keluarkan airnya sendiri. Ini yang membuatkan daging kekal juicy apabila dimakan.
Resepi Tambahan
Seterusnya, berikut adalah antara menu yang menggunakan daging yang sedap dan mudah juga untuk dicuba dirumah, iaitu:
- Resepi Daging Dendeng
- Resepi Daging Belengas
- Resepi Daging Masak Hitam
- Resepi Daging Goreng Ala-Ala Masakan Thai
- Resepi Daging Masak Merah Ala-Ala Masakan Thai
- Resepi Kerabu Daging Ala-Ala Thai
- Resepi Sup Tulang
Semoga perkongsian ini bermanfaat dan selamat mencuba!